KEMAJUAN dunia dan teknologi tidak boleh dihentikan sama sekali.

Sekarang semuanya banyak bantuan robot. Bahkan kereta pun dah ada yang auto pilot. Anak-anak kecil tidak lagi memegang patung, tidak lagi memegang lastik di tangan.

Masing-masing memegang tablet dan telefon pintar.

Seawal usia 3 tahun dah pandai mencari video kegemaraan di YouTube dan dah pandai men'download' game kesukaan di Play Store.

Dan malangnya kemajuan zaman dan teknologi hari ini turut menghakis adab dalam menuntut ilmu. Sehinggakan hari ini, murid-murid mula dianggap sebagai pelanggan.

Maka frasa 'customer always right' acapkali ditekankan.

Saya secara peribadi sampai saat ini tidak mengakui anak-anak didik aku itu sebagai 'customer'.

Hubungan antara seorang guru dan murid itu darjatnya jauh lebih tinggi. Bukan seperti pelanggan dalam kedai makan. Bukan!

Antara kami ada keberkatan ilmu. Antara murid dan guru itu ada keakraban, ada kemesraan yang tidak boleh disama taraf dengan pelanggan.

Tidak boleh!

Guru itu umpama pengganti ibu bapa.

Guru adalah ibu bapa kedua murid-murid. Itu yang sebetulnya. Bukan seperti hubungan pelanggan dan pekedai.

Kami mencari salah murid kemudian kami betulkan. Kami mendidik sikap mereka.

Kami memanusiakan manusia. Itu dia.

Jika sekadar hubungan antara pelanggan sahaja, habis kelas tidak lagi dipeduli murid faham atau tidak. Ini tidak berlaku di sekolah. Habis masa belajar, ada murid tidak faham guru punya la risau.

Buat kelas intensif, buat kelas tambahan secara percuma dan sebagainya kerana kami tidak pernah menganggap mereka pelanggan kami.

Kami anggap mereka bagai anak-anak kandung sendiri.

Bahkan sangat ramai guru berkorban untuk belikan buku, beli alat tulis, bagi duit belanja, balut lagi luka, lap air mata murid-murid mereka.

Mereka tidak kisah berhabis wang, mereka tidak kisah menumpangkan kasih kerana bagi guru, murid bukan pelanggan.

Bukan serendah itu taraf anak-anak didik kesayangan mereka. Adab menuntut ilmu sangat menitik beratkan soal menghormati guru dan keberkatan dalam belajar.

Dulu-dulu murid berebut menunggu guru mereka ditempat parking kereta dan motor.

Mereka tunggu cikgu sampai hanya untuk tolong cikgu bawa beg, bawa buku, bawa kertas.

Kemesraan terjalin, adab dijunjung dan keberkatan itu turut sama mengikuti.

Zaman sekarang, sejak program bertahun-tahun sudah rutin ini menjadi terbalik.

Guru perlu datang awal pagi ke sekolah dan menunggu murid di pagar sekolah dengan senyuman manis sambil menyapa setiap murid,

"Selamat datang. Terima kasih kerana datang ke sekolah hari ini."

Beratus orang murid-murid, beratus kali lah cikgu kena sapa.

Beratus kali kena senyum untuk ambil hati murid yang 'bad mood', yang malas, yang rajin dan yang segala macam.

Paling menyedihkan, ada murid yang berdendam dengan guru menggunakan kesempatan itu untuk berlagak dan 'kekwat'. Maka ada yang berpakat begini,

"Tengok tu. Cikgu tunggu kita sambil senyum dan menyapa. Jom kita buat muka sombong, jom kita jangan pandang cikgu, kita borak dan gelak-gelak je lintas pagar nanti."

Itulah yang terjadi sekarang. Bilangan murid biadab makin meningkat.

Tiada lagi kelihatan murid menunggu guru di bawah garaj, di tempat parking motor untuk menolong guru mengangkat barang. Tiada!

Semakin sukar hendak melihat pelajar sesopan dahulu.

Yang begitu cintakan ilmu.

Yang begitu menjunjung martabat ilmu dan keberkatan.

Sedikit demi sedikit ia hilang dalam masyarakat kita. Sedikit demi sedikit kemajuan dan teknologi menghilangkan identiti kita.

Bukan semua benda kita perlu tiru orang.

Kita ada agama kita. Kita ada budaya kita.

Dan sehingga bila-bila saya takkan sesekali anggap anak-anak didik saya sebagai pelanggan.

Darjat mereka pada saya jauh lebih tinggi dan istimewa lagi.

Antara kami ada hubungan hati.

Anak-anak. Ingat pesan cikgu. Kalian bukan pelanggan kami. Kalian bagai anak-anak kami. Dan dalam menuntut ilmu, jangan ditinggalkan adab dan sopan kerana dalam sekecil-kecil ilmu, ada sebesar-besar keberkatan. Sungguh!

 

Mohd Fadli Mohamed Salleh

Guru Matematik SK (1) Gombak

Artikel menarik:

Tak tahan tengok pelajar tak mampu beli makanan di kantin...cikgu ini sanggup sedia makanan percuma

Pematuhan Prosedur Operasi Standard Pengurusan dan Pentadbiran Pentaksiran Tingkatan 3

Guru perlu siap sedia untuk hadapi cabaran VUCA

Enam doa ringkas boleh diamalkan untuk anak menghadapi peperiksaan

Teknik MaxRecall - Senang ingat tanpa perlu menghafal