KUANTAN - Tidak kedengaran lagi alunan bacaan ayat suci al-Quran di rumah dan tiada suara merdu bernasyid ketika memandu.

Malah, tiada juga lantunan seruan Muhammad Amirul Najmie Muhammad Asrul Leonard, 21, melaungkan azan mengajak insan menyembah Ilahi.

Momen-momen ini pasti dirindui keluarga pemuda yang menghembuskan nafas terakhir ketika melaungkan azan Solat Jumaat 10 Mei lalu.

Muhammad Amirul Najmie menemui ajalnya pada penghulu segala hari pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Saat mengalunkan azan kedua, dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

Jemaah yang ketika itu sedang bersiap sedia untuk solat Jumaat segera mengangkatnya ke ruang tengah Masjid Al Ihsan Sungai Panching Selatan, di sini.

Bapanya, Muhammad Asrul Leonard Abdullah, 46, berkata, dia sempat memangku kepala dan menatap sejenak wajah anak lelakinya itu.

“Ketika itu dia tidak bergerak, hati saya berdebar. Saya sedar dia sudah tiada tapi jauh di sudut hati saya cuba menafikan dan berharap anak sulung masih hidup,” katanya.

Muhammad Amirul Najmie dikejarkan ke hospital dan disahkan sudah meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak.

Minat program agama, dakwah

Menceritakan keperibadian anaknya, Muhammad Asrul berkata, Muhammad Amirul Najmie yang merupakan anak sulung dari tiga beradik tegas dengan dua adiknya, Muhammad Amir Danish Najmie, 11, dan Anis Natasya Najmie, 17.

Katanya, pemuda itu juga seorang yang ceria, suka membantu orang dan berminat dengan program-program agama serta dakwah.

“Arwah pernah beritahu keinginannya untuk membuat kerja-kerja sukarelawan berkait umat Islam di luar negara. Sejak di sekolah rendah pun dia suka bantu orang dan sehingga dewasa rutinnya bukan selalu di rumah sebab dia suka berdakwah.

“Arwah banyak melibatkan diri dengan program kebajikan dan menjadi bilal jemputan di mana-mana masjid luar daerah. Di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) pula dia seorang bilal dan dijadualkan bertugas pada hari raya nanti,” katanya.

Muhammad Asrul Leonard yang berasal dari Sarawak merupakan bekas tentera dan memeluk Islam pada 1997 sebelum bernikah dengan isterinya, Nomilah Junoh, 46.

Ketika Muhammad Amirul Najmie dilahirkan pada 1998, beliau aktif menjalankan kerja-kerja dakwah dan menghadiri program yang dianjurkan Jabatan Agama Islam dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Muhammad Asrul Leonard berkata, arwah anaknya pernah menyuarakan keinginan untuk berkhidmat di Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat).

“Mungkin daripada situ anak saya terbiasa dengan perkara-perkara berkaitan dakwah Islam. Keluarga saya di Sarawak termasuk sepupu-sepupunya pun amat terkesan dengan pemergian arwah kerana arwah seorang yang ceria dan gemar bercerita tentang Islam di rumah panjang.

“Jika berada di rumah boleh dengar bila-bila dan di mana sahaja, suara dia mengaji, bernasyid dan taranum. Dia suka merakam bacaannya untuk rujukan orang lain dan menyemaknya semula.

“Hajat terakhirnya adalah untuk berbakti di masjid di sini. Pada hari kejadian dia keluar awal menaiki motosikal ke Masjid Al Ihsan dan minta izin untuk jadi bilal.

“Alhamdulillah hajatnya untuk berkhidmat di kampung sendiri tercapai. Selepas ini tiada lagi suara-suara itu buat halwa telinga kami sekeluarga. Itu yang akan kami rindukan dan hanya rakaman menjadi pengubatnya,” katanya.

Muhammad Amirul Najmie merupakan pelajar semester lima Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan KUIPSAS.

Beliau juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota, Kuantan, Pahang.

(Dari kiri) Muhammad Asrul Leonard, Nomilah dan Nurul Zainadia menunjukkan gambar kenangan bersama Allahyarham
Muhammad Amirul Najmie.

Derita tiga penyakit

Ibu arwah, Nomilah Junoh, 45, berkata, tiada yang lebih tenang di hatinya selain gembira dapat memasakkan lauk ayam kicap yang menjadi permintaan anaknya untuk bersahur pada pagi Jumaat 10 Mei lalu.

“Waktu dia keluar dari bilik mandi dia panggil saya tiga kali. Saya kurang dengar apa yang dia cakap dan saya tanyakan semula. Dia jawab nanti lepas balik solat Jumaat.

“Saya tertanya-tanya apa yang dia ingin katakan. Rupa-rupanya itu tanda dia nak pergi. Walaupun sedih namun saya reda kerana dia pergi dalam keadaan yang baik,” katanya.

Menerusi perwatakannya yang ceria, tiada siapa pernah sangka Muhammad Amirul Najmie menderita penyakit buah pinggang, masalah hati dan darah tinggi sejak dari kecil.

Nomilah berkata, pada 2017, dia menjalani pembedahan di kepala bagi menangani masalah darah beku di bahagian otak dan mengelakkan pembuluh darahnya pecah.

“Dia selalu sakit kepala tapi jarang mengadu apatah lagi mengeluh. Doktor pun kata dia seorang yang kuat melawan penyakit,” katanya.

Muhammad Amirul Najmie tegas dalam hal agama dan akan menegur adik bongsunya jika lewat solat Subuh dan mengejutkan ahli keluarga bersahur.

Tak sempat beli kurta untuk Aidilfitri

NOMILAH berkata, dia tidak sempat menemani Muhammad Amirul Najmie membeli baju kurta yang ingin dipakainya pada pagi raya.

“Tahun-tahun sebelum ini dia beli sendiri tapi tak tahu kenapa tahun ini dia bersungguh- sungguh ajak saya dan abah dia belikan baju.

“Dia ada sebut baju yang dia nak macam mana tapi kami tangguh dulu. Tak sempat beli,” katanya sebak.

Pemergian pemuda itu turut dirasai sepupunya Nurul Zainadia Mohd Zaidi, 26, yang menyifatkan Muhammad Amirul Najmie sebagai seorang yang mencintai ilmu agama, teliti dan gemar mencari mencari guru untuk memperbetulkan bacaannya.

Selain itu katanya, arwah juga suka bergurau dan menceriakan orang lain namun bijak menyembunyikan penderitaannya.

“Saya antara yang rapat dengan dia selain adiknya (Tasha) kerana saya pernah tinggal di rumah makcik Nomilah. Dia panggil saya Kokya dan dia pernah beritahu nak jadi ustaz dan mahu aktif berdakwah.

“Memang kehilangan arwah sangat terasa bagi saya sebab dia seorang  yang lucu, dan tegas dalam hal agama. Masa lapang arwah suka fotografi dan sempat beli drone untuk penggambaran. Arwah cuma sempat pakai sekali sahaja.

“Ketika hidup orangnya mempunyai misi dakwah yang luar biasa, mungkin kerana itu cara pemergiannya juga, luar biasa,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

'Meninggal ketika laung azan kedua untuk solat Jumaat' - Cikgu ini sebak kenang Amirul Najmi

ARTIKEL MENARIK:

'Dalam diam, murid ini solat dhuha di surau sekolah' - Catatan Cikgu Rohizan buat warganet sebak

Penangan Sir Uzair dan Cikgu Zameer buat pelajarnya minat subjek yang dianggap paling susah faham

'Walau dikecam, ditohmah namun saya tetap bahagia dengan anak syurga', ini kata guru Pendidikan Khas

'Mereka tak pernah sayang saya, ustaz' - warganet sebak bila dengar luahan pelajar ini

'Hormati mak ayah, kawal nafsu, kejar syurga' - Siapa jadi pelajar Cikgu Ven pasti dapat nota ini