KUALA NERUS - Kampus universiti mula ceria dengan ketibaan kumpulan mahasiswa setelah hampir setahun ditinggalkan sebilangan besar siswa pada tahun lalu ekoran pandemik Covid-19.

Pembukaan semula kampus universiti setelah pengumuman mengenainya dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi pada 31 Januari lalu setelah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan sesi libat urus bersama Majlis Perwakilan Pelajar, pihak pengurusan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pakar kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pastinya pembukaan semula kampus untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran secara hibrid menggembirakan sebilangan besar penuntut.

Namun begitu, kumpulan siswa yang berjaya meneruskan pengajian di kampus perlu melalui tapisan dan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 dalam kampus.

Mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Deenatul Aiman Ras,22, berkata kemasukan semula ke kampus suatu yang menggembirakan.

“Saya sangat bersetuju dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi dalam memberi kebenaran kepada siswa universiti untuk kembali ke kampus.

“Berada di kampus lebih fokus terhadap pengajian, suasana pembelajaran sangat kondusif dan dilengkapi dengan kemudahan capaian internet,” katanya.

Tambah Deenatul, kebisingan ahli keluarga yang masih kecil serta persekitaran kediaman yang tidak selesa adalah cabaran besar belajar dari rumah.

“Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang ke kampus dan saya harap rakan-rakan yang berjaya mendaftarkan diri dapat mematuhi garis panduan dan SOP yang telah ditetapkan bagi mengelakkan penularan COVID-19 di kampus,” katanya yang berasal dari Bentong, Pahang.

UMT menerima sejumlah 250 penuntut  pada hari pertama pembukaan semula kampus dan proses kemasukan itu berterusan sehingga 8 Mac ini.

Sumber: Portal Universiti Malaysia Terengganu

Artikel menarik

Himpunan minit mesyuarat yang lengkap dan teratur, guru-guru boleh rujuk ini

Jangan abai sarapan pagi anak-anak, ini 7 kepentingan yang perlu ibu bapa ambil tahu