Sebut sahaja kantin sekolah, kita mesti teringat kantin zaman persekolahan kita dahulu, meja kayu panjang yang dibalut plastik, bangku kayu panjang, pinggan plastik berisi makanan yang diatur untuk dibeli pelajar, langsir beropol berbunga-bunga dan juga jambangan bunga di atas meja guru sebagai hiasan.

Namun kini, pandangan tersebut sudah tiada lagi. Kantin sekolah kini berwajah baru, lebih segar, moden dan cantik. Hiasannya juga lebih ringkas, berkonsep, teratur, moden dan sedap mata memandang.

Bagi  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama (SUTAMA), konsep ‘hipster’ yang diketengahkan ternyata berjaya mencuit pandangan guru juga pelajar.

Rata-rata guru dan pelajar di sekolah itu berasa kagum dengan konsep yang diketengahkan. Masing-masing juga teruja dan hilang segala tekanan bila penat bekerja dan belajar.

Objektif utama perubahan yang dibuat juga adalah untuk memastikan kantin yang diberi nama kafe sekolah itu nampak lapang dan sejuk mata memandang, selain memastikan makanan yang disediakan dalam keadaan bersih, berkhasiat dan selamat untuk dimakan.

Tahniah diucapkan kepada pengusaha kantin, pengetua sekolah serta warga pendidik di SMK Saujana Utama ( SUTAMA ), apabila berjaya mengubah kantin biasa menjadi luar biasa.

Barulah lawa, kreatif, cantik, kemas, dan berseni!

Jom lihat betapa cantiknya cafe sekolah SUTAMA ni.