Rezeki Anzenikha Zali.

Itulah gambaran tepat yang dapat diberikan kepada Anzenikha yang merupakan pelajar jurusan Pendidikan Awal Kanak-anak Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah.

Cerita fiksyen kilatnya yang bertajuk 'Linangkit' telah berjaya disiarkan dalam sebuah majalah Writer’s Egg Magazine yang berpangkalan di Bristol, United Kingdom.

Menurut Anzenikha, 'Linangkit' mengisahkan tentang kehidupan seorang pereka fesyen yang sedang menempa nama dalam industri fesyen dengan rekaan pakaian berasaskan corak Linangkit.

"Di saat namanya berada di kemuncak, pereka fesyen tersebut mengambil keputusan mengubah perjalanan kariernya apabila nenek kesayangan meninggal dunia," katanya.

Fiksyen kilat merupakan cerita fiksyen yang ditulis dalam jumlah perkataan yang kurang dari 1000 jumlah patah perkataan.

Ujar Anzenikha, cerita yang ditulisnya itu bertemakan budaya kaum etnik di mana ia merupakan sulaman yang mempunyai corak yang unik dalam kalangan komuniti Dusun di Sabah.

"Sebagai seorang yang berbangsa Dusun yang dilahirkan dan membesar di Ranau, saya ingin memelihara budaya etnik kaum melalui penulisan cerita sebegini. Saya harap, ia dapat diterima ramai," katanya.

Terdahulu, pelajar berbakat ini telah menulis 'Linangkit' pada Januari 2021 dan menghantar hasil karyanya kepada majalah Writer’s Egg Magazine yang menerbitkan koleksi puisi, cerita dan lukisan pada setiap bulan.

Kemudian, Anzenikha menerima email pada 18 Mac yang menyatakan penulisannya menjadi pilihan majalah tersebut.

Awal April lalu, 'Linangkit' disiarkan dalam isu kesembilan majalah Writer’s Egg Magazine yang boleh dilihat di pautan berikut: http://writerseggmagazine.co.uk/shop/

Sementara itu, pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Sabin melahirkan perasaan bangga dengan pencapaian cemerlang Anzenikha dalam bidang penulisan.

"Terpilih untuk siaran dalam majalah British sememangnya satu pencapaian luar biasa.

"Kejayaan Anzenikha memang membanggakan. Tahniah dari saya dan warga KV Keningau yang lain," katanya yang sentiasa menyokong segala usaha yang dilaksanakan pelajar dan guru dalam apa jua bidang diceburi.

Artikel menarik

Profesor Dr Ghazali Omar dilantik Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) baharu UTeM

Tercalon dalam Rise Educator Award 2021, Cikgu Nazmi terharu dengan pengorbanan ibu bapa muridnya