Pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 mempunyai ciri-ciri yang berbeza dengan pendidikan masa lampau.

Jika suatu ketika dahulu, komunikasi dua hala antara guru dan murid-murid sudah memadai, namun tahap  pendidikan masa kini menuntut kemahiran berfikir di luar kotak, kehendak jawapan pula memerlukan cara berfikir aras tinggi.

Justeru, dalam memenuhi tujuan itu, kerajaan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 telah memperkenalkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) untuk melahirkan golongan murid yang produktif tinggi, mahir dalam komunikasi, serta penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Transformasi pendidikan kepada KBAT adalah sesuai dengan keadaan semasa kerana guru-guru juga berhadapan dengan murid-murid yang jauh berbeza dengan murid-murid masa lalu.

Murid-murid kini lebih terdedah dengan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber dan mempunyai kecenderungan untuk mengetahui dan bertanya dengan lebih mendalam.

Penerapan KBAT dalam pendidikan menggunakan pendekatan menyeluruh dan sistematik yang merangkumi tujuh elemen, terdiri daripada tiga elemen utama iaitu kurikulum, pentaksiran dan pedagogi serta empat elemen  sokongan seperti kokurikulum, sokongan komuniti dan swasta, sumber dan bina upaya.

Ikuti pandangan guru-guru dalam menjayakan tuntutan pendidikan negara ke arah melahirkan murid dan pelajar yang mempunyai kemahiran pemikiran kritis, kreatif, dan inovatif.  

roses pembelajaran di sekolah bukan sekadar interaksi di antara guru dan pelajar. Seharusnya pemahaman itu perlu melibatkan proses berfikir.

Bagaimanapun, boleh dikatakan kebanyakan pelajar sebenarnya menghafal atau rote learning dalam pembelajaran.

Ini boleh dikategorikan sebagai kemahiran berfikir aras rendah. Sebagai contoh kemahiran ini hanya memerlukan murid menghafal dan mengingat kembali fakta atau maklumat yang disampaikan oleh guru.

Ini terjadi kerana masa kini orang memandang kepada berapakah bilangan A yang diperoleh.

Bukan kepada sejauh manakah kita memahami atau mendapatkan input dalam proses pembelajaran. Sehinggakan di penghujung harinya, keputusan cemerlang itu hanyalah sekadar nilai sekeping kertas kosong.

Justeru itu, dalam usaha mampu bersaing sebaris dengan negara termaju, sistem pendidikan negara perlu berupaya melahirkan generasi muda  berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif serta berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global.

Maka, aplikasi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) diperkenalkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025.

Aplikasi KBAT melibatkan kemahiran intelek yang tinggi. Ia memerlukan seseorang itu berfikir sebelum membuat penjelasan dengan menganalisis, menilai, menjana idea, pilihan membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan  membuat perancangan.

Pembelajaran bukan lagi satu arah Menurut Mohamad Khamidon Sadi, 47, perlaksanaan KBAT itu dapat diaplikasikan sekiranya guru diberikan persediaan yang rapi ke arah itu.

“Secara umumnya semua guru telah pun disediakan dengan ilmu KBAT sejak dalam pengajian pendidikan.

“Kerana KBAT lebih terarah menterjemahkan konsep pendidikan dalam taksonomi bloom iaitu merangkumi pembelajaran dari aras rendah ke aras tinggi iaitu pelajar mampu mengingat, memahami, mengaplikasikan, analisa, membuat penilaian dan menghasilkan produk/menyelesaikan masalah,” katanya.

Beliau yang sudah mengajar selama 24 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16 Shah Alam itu menjelaskan pendidik perlu bersedia dari segi mental dan fizikal, di samping prasarana yang sesuai dan kondusif bagi menterjemahkan KBAT dalam pembelajaran.

Namun masih terlalu banyak kekangan dan kelemahan yang agak ketara dalam memastikan perlaksanaan berjalan dengan baik dalam membentuk kemenjadian diri  pelajar. Seperti yang terdapat dalam enam aspirasi pelajar dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

Bagaimanapun, dengan adanya KBAT pembelajaran menjadi lebih aktif dan menyeronokkan.“Tidak lagi spoon feeding atau satu arah. “Mereka dilihat menjadi lebih pro aktif, kreatif dan masa sama sikap malu di dalam kelas semakin berkurangan kerana pelajar diberi pendedahan untuk bercakap dan memberi pendapat sama rata,” jelasnya.

Namun hakikat yang perlu diterima ialah ketidakjelasan terhadap KBAT itu sendiri, sokongan dari segi prasarana di dalam bilik darjah, perbezaan tahap pelajar yang sangat ketara, kekangan kewangan dan sokongan ibu bapa di rumah sering kali menjadi batas bagi pelaksanaan KBAT secara menyeluruh.

Sementara, kejayaan pencapaian peratusan dalam peperiksaan utama sekolah seperti Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sesebuah sekolah yang sering digemburkan pihak tertentu juga sebenarnya sedikit sebanyak masih lagi membantutkan usaha KBAT.

“Kerana ia tetap menyebabkan “exam oriented” masih dikekalkan dan justeru, pelajar dan guru akan lebih tertumpu untuk mengejar silibus berbanding  perlaksanaan pembelajaran secara lebih terbuka,” ujarnya.

Mampu membuat keputusan sendiri Pada masa yang sama guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Jaffry Jaafar, 32, berpendapat soalan berbentuk objektif yang digunakan sebelum ini  menyebabkan murid yang lemah akan memilih secara rawak serta tidak membaca soalan yang diberikan. 

"Ini menyebabkan murid menjawab sambil lewa dan siap menjawab kertas soalan tidak sampai lima minit. Melalui format baru kertas soalan berdasarkan KBAT, murid perlu menulis serta berfikir untuk mendapatkan jawapan.

Pelajar yang lemah tidak ada pilihan lain untuk menjawab soalan," katanya.Ujarnya, setiap murid mempunyai tahap pemikiran berbeza. Kepelbagaian soalan dapat membantu murid memahami sesuatu perkara dengan mudah.

"Kesan positif melalui KBAT, murid yakin memberi pendapat dan mampu membuat keputusan sendiri. Kita boleh lihat dahulu murid dapat keputusan cemerlang 10A, belum tentu akan dapat pekerjaan yang memerlukan kemahiran.

Melalui pendekatan KBAT, elemen aplikasi dan mencipta dapat membantu murid proaktif serta berdaya saing dengan orang sekeliling.

"Pelaksanaan KBAT tidak mudah. KBAT memerlukan inisiatif pelajar itu sendiri untuk berubah daripada pemikiran biasa kepada pemikiran yang kritis," jelasnya.

Pelaksanaan KBAT juga diteruskan pada peringkat pra sekolah menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif.

Guru Pra Sekolah, Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Peel, Kuala Lumpur, Tuan Maizura Tuan Mat berkata, untuk murid-murid peringkat pra sekolah, teknik mengajar mesti diselitkan dengan elemen seronok, belajar sambil bermain satu kemestian, unsur permainan juga diterapkan menggunakan pendekatan bertema menggunakan alatan sukan, alat muzik, dan alat permainan tradisional.

"Bermain adalah pengalaman penting murid kerana mereka berpeluang belajar dalam suasana bebas, selamat, gembira dan bermakna," katanya. 

Dalam meningkatkan bina upaya  KBAT secara berterusan, guru juga menggunakan pendekatan tersendiri.

"Di dalam kelas saya menggunakan teknik menyelesaikan masalah contohnya mengadakan aktiviti melibatkan nombor, perkataan teka-teki silang kata yang sesuai dengan tahap mereka, hasilnya mereka mula meneroka, memahami dan dapat mempelajari masalah yang timbul," katanya.

Tambah Tuan Maizura, dalam menimbulkan mood seronok juga, dia mengaplikasikan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)  dalam pembelajaran.

"Selalunya saya guna bahan maujud dalam pengajaran agar murid boleh sentuh, lihat dan rasa. Jika ada keperluan, disertakan juga tayangkan video, cd, slide show."Usaha meningkatkan KBAT juga adalah melalui guru yang sentiasa perlu kreatif dalam merancang aktiviti. Salah satu daripadanya menyediakan suasana pembelajaran yang menarik, selesa dan sesuai, kelas dihias dengan warna ceria dan bersih," katanya.