KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan merampas komik didakwa berunsur propaganda yang diedarkan ke sekolah.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rampasan akan dilakukan susulan pihaknya telah mewartakan perintah larangan terhadap komik "Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama” termasuk versi bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

"Kalau masih dalam edaran di pasaran maka kita akan ambil tindakan untuk rampas sebab keputusan sudah dibuat. Perkara ini agak serius, sebab itu saya kena ambil tindakan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan susulan yang akan dilakukan selepas pihaknya mewartakan perintah larangan terhadap komik tersebut semalam.

Menurut Muhyiddin, langkah itu diambil selepas pihaknya meneliti dan mendapati kandungan komik itu yang antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme.

"Memang ada asas kukuh, bukan kerana apa-apa sentimen atau tindakan terhadap mana-mana pihak. Ia berdasarkan ‘content’ (kandungan), apa lagi ia telah diedarkan dalam negara di sekolah-sekolah,” tegasnya.

Ditanya sekiranya komik itu masih diedarkan di sekolah, Muhyiddin menyerahkan kuasa kepada Kementerian Pendidikan untuk bertindak merampas komik itu.

"Saya difahamkan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik akan ambil tindakan. Terserah kepada kebijaksanaan pihak sekolah,” kata Muhyiddin.

Pada masa sama, beliau menasihatkan agar rakyat negara ini tidak membaca komik berkenaan  yang menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis selain mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan serta simpati terhadap perjuangan fahaman itu. - Bernama

Artikel Menarik:

Guru ini cipta ABM untuk subjek Matematik, bantu murid mudah faham dalam kelas

‘Sedapnya cikgu, tak pernah saya makan ni di kampung,’ - Cikgu sebak, anak murid teruja makan McD

Hebat betul Cikgu ni, hasil mekapnya bagaikan juru mekap kesan khas profesional

Sedikit perkongsian untuk cikgu yang ingin sandang jawatan guru besar/pengetua

Cikgu ini wujudkan kebun sayur depan rumah hingga buat ramai tak sabar nak petik