GEORGE TOWN - Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 28 komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ dalam dua serbuan di dua lokasi berbeza di Pulau Pinang, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata dalam serbuan pertama, 15 buah komik itu dalam versi Bahasa Melayu dirampas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Timur Laut.

Katanya siasatan awal mendapati kesemua komik tersebut diterima dari beberapa buah sekolah menengah sekitar daerah tersebut.

"Seramai lima pegawai penguat kuasa KDN Pulau Pinang telah ke PPD Timur Laut dan menerangkan tujuan kedatangan mereka untuk mengambil komik tersebut yang menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 kerana naskah tersebut telah diwartakan perintah larangan," katanya di sini, hari ini.

Che Zaimani berkata selain itu, semalam pihak KDN juga telah merampas 13 buah komik versi Bahasa Cina, di Muzium Kebudayaan Komik Asia di Komtar, di sini.

"Kesemua komik itu telah dibawa balik ke pejabat KDN Pulau Pinang untuk siasatan dan tindakan lanjut menurut Seksyen 8(2) AMCP 1984,” katanya.

Katanya, mengikut seksyen tersebut, sesiapa yang didapati mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, menawarkan untuk menjual atau memiliki komik terbabit boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Menarik:

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

I Force hasil inovasi guru Fizik ini menang pelbagai anugerah buatkan subjek Fizik semudah 1,2,3

‘Biarpun terpaksa duduk bawah meja, kami tetap mahu ke sekolah,’- Situasi pilu pelajar bikin sebak