SHAH ALAM - Inilah julung kalinya KPM menerima peruntukan khas bagi penyediaan kemudahan murid berkeperluan khas (MBK).

Menterinya, Maszlee Malik berkata kemudahan asas mesra OKU yang perlu dilengkapkan di sekolah menggunakan peruntukan itu terdiri daripada susur landai,  susur tangan, tandas OKU dan parkir OKU.

"Kebajikan anak-anak kurang upaya amat dekat di hati saya. Sebanyak 115 buah sekolah akan dikenal pasti bagi menyediakan kemudahan mesra OKU dengan kos sebanyak dua ratus ribu ringgit (RM200,000.00) setiap sekolah," katanya.

Beliau menjawab soalan berkaitan peruntukan sebanyak RM23 juta bagi menyediakan kemudahan murid berkeperluan khas (MBK) di sekolah selaras dengan dasar penolakan sifar (Zero Reject Policy) oleh Ahmad Fadhli Shaari (Adun Pasir Mas, Kelantan), Steven Choong Shiau Yoon (Adun Tebrau, Jhor) dan Shaharizukirnain Abd Kadir (Adun Setiu, Terengganu).

Kata Maszlee, senarai nama itu akan disediakan pada pertengahan Disember 2019. Selain daripada itu, KPM juga sentiasa memastikan pendidikan khas diberi  peruntukan yang sewajarnya seperti peruntukan bagi latihan, intervensi dan sebagainya.

"Sehingga kini, terdapat sebanyak 13 buah Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan sokongan pendidikan kepada masyarakat khususnya murid berkeperluan khas.

"Seramai 28 orang pegawai bidang khusus telah ditempatkan di 3PK mengikut bidang kepakaran masing-masing seperti peripatetik, terapi pertuturan bahasa, terapi carakerja, audiologi dan psikologi. Bagi anak-anak MBK dan ibubapa, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan mereka tidak akan  dipinggirkan lagi dalam pendidikan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan perbahasan rang undang-undang perbekalan 2020 peringkat dasar di Dewan Rakyat semalam.

Artikel lain:

Penyelenggaraan kuarters milik KPM di seluruh negara

Penyambungan bekalan elektrik ke grid utama sekolah-sekolah di Sarawak

Agihan peruntukan penyelenggaraan sekolah ambil kira keperluan sebenar

Tiada pengasingan aliran di sekolah sebagai persediaan bentuk kerjaya

PSP bagi murid sekolah rendah utamakan pendekatan 'nutrition security' nutrisi