Menurut Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) 2019, Pentaksiran Bilik Darjah atau PBD merupakan pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid di samping memberi maklum balas tentang pengajaran guru.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pula terdiri daripada empat komponen di mana dua komponen akademik dan dua lagi adalah bukan akademik.

Komponen akademik adalah Pentaksiran Pusat di bawah Lembaga Peperiksaan (LP), dan PBD di bawah BPK di mana sebelum ini dibawah LP yang dikenali sebagai Pentaksiran Sekolah (PS).

Komponen bukan akademik adalah terdiri daripada Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kurikulum (PAJSK) di bawah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian (BKK) dan Psikometrik di bawah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH).

Oleh itu, PBD merupakan satu komponen dalam PBS.

PBD terdiri daripada pentaksiran formatif dan sumatif.

Pentaksiran formatif adalah mentafsir perkembangan sebagai pembelajaran (as learning) dan mentafsir perkembangan untuk pembelajaran (for learning) yang dilakukan secara berterusan dalam pelaksanaan PdP.

Manakala pentaksiran sumatif mentafsir perkembangan tentang pembelajaran (of learning) adalah dilakukan di akhir sesuatu unit pembelajaran, penggal, bulan atau tahun.

Sekiranya proses PdP berlaku secara dalam talian, PBD juga dijalankan secara dalam talian.

Format templat pelaporan PBD tidak berubah sekiranya dilaksanakan secara atas talian.

Guru harus bijak menggunakan pelbagai kaedah pentaksiran dengan menggunakan bentuk komunikasi dan aplikasi yang bersesuaian untuk mentafsir murid.

Ada juga guru terkeliru berkaitan pentaksiran sumatif di mana menganggap pentaksiran sumatif hanya berbentuk ujian atau peperiksaan sahaja.

Pentaksiran sumatif tidak semestinya berbentuk ujian atau peperiksaan, guru digalakkan menggunakan kaedah lain bergantung kepada apa yang hendak ditafsir.

PBS dilaksanakan adalah bertepatan dengan keperluan transformasi pendidikan yang melibatkan pentaksiran formatif (as learning) di mana PdP berpusat kan murid, iaitu murid adalah penilai mereka sendiri seperti bertanya soalan dan menggunakan pelbagai strategi untuk menentukan apa yang mereka tahu dan boleh lakukan serta bagaimana menggunakan pentaksiran untuk pembelajaran baharu.

Bagi Pentaksiran formatif (for learning) pula pentaksiran adalah melibatkan guru yang menggunakan bukti berkaitan pengetahuan, pemahaman dan kemahiran murid untuk memaklumkan berkaitan pengajaran guru tersebut.

Manakala bagi Pentaksiran Sumatif (of learning), untuk melihat pencapaian atau penguasaan murid pada satu- satu masa yang strategik, lazimnya di akhir satu tempoh pembelajaran.

Pentaksiran ini membolehkan murid, guru,ibu bapa dan pihak sekolah mengetahui kualiti pembelajaran murid.

Oleh itu, melalui PBD, guru dapat

(i) mengesan pengetahuan sedia ada murid,

(ii) mengesan perkembangan murid secara menyeluruh,

(iii) mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran dari semasa ke semasa,

(iv) mengetahui keberkesanan PdP (merancang, mengubah suai dan menambah baik kaedah PdP dan menjalankan tindakan susulan yang sesuai dengan serta merta).

Manakala, melalui PBD murid dapat

(i) mengesan perkembangan diri,

(ii) mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam pembelajaran meningkatkan pencapaian pembelajaran.

PBD dilaksanakan dengan melibatkan tiga komponen utama iaitu PdP guru, instrumen pentaksiran dan tahap penguasaan murid.

Pelaporan dilaksanakan hanya dua kali setahun.

Proses PdP adalah melibatkan

(i) Aktiviti pembelajaran berpusat kan murid seperti yang terkandung dalam Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran (DSKP),

(ii) Instrumen pentaksiran yang menepati transformasi kurikulum yang dihasratkan oleh KPM dan;

(iii) Pembelajaran abad ke-21 (PAK21).

Aktiviti pembelajaran berpusatkan murid dan PBD boleh dilakukan secara dalam tiga talian dengan menggunakan pelantar pembelajaran yang disediakan oleh KPM iaitu MOE-DL atau pelantar pembelajaran lain yang sesuai di mana guru boleh mengakses Google Classroom dan pautan aplikasi seperti Quizizz dan sebagainya.

PBD secara atas talian melalui pemerhatian, lisan, bertulis dan pentaksiran kenduri boleh dilaksanakan menggunakan aplikasi seperti Google Classroom, Skype, Hangouts, Google Meet bagi membantu guru memerhati proses kerja murid.

Murid juga boleh membuat rakaman video ( bagi menyiapkan tugasan atau eksperimen sementelah guru memberikan maklum balas kepada murid berdasarkan rakaman video tersebut.

Guru juga boleh memerhati tingkah laku murid melalui interaksi murid dengan guru atau interaksi murid dengan murid melalui aplikasi yang bersesuaian.

Perekodan dan pelaporan tahap penguasaan murid adalah merujuk kepada Standard Prestasi (SP) dan pertimbangan profesional guru amat penting untuk menetapkan tahap penguasaan murid supaya penguasaan pembelajaran murid dinilai secara adil oleh guru.

Pertimbangan profesional merupakan satu bentuk keputusan berkaitan pembelajaran murid yang dibuat oleh guru secara beretika menggunakan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman berdasarkan Standard Prestasi dan data perkembangan penguasaan murid dalam pembelajarannya.

Bagi murid yang masih belum menguasai TP 3 (minimum) mesti dijadikan isu pada setiap kali mesyuarat kurikulum, panitia dan PBS dan PBD.

Bagi murid yang tidak menguasai TP 3 (minimum) mesti ada justifikasi serta eviden bagi murid kes khas seperti OKU atau mengalami masalah pembelajaran.

Sekiranya murid tidak mampu mencapai sekurang-kurangnya TP 3 walaupun telah banyak kali ulangan dibuat dan pelbagai kaedah pentaksiran dijalankan.

Di peringkat sekolah, Pentadbir sekolah dan guru mempunyai peranan tersendiri bagi merealisasikan pelaksanaan PBD agar berkesan serta memberi impak yang positif kepada murid. Pihak pentadbir sekolah melakukan bimbingan dan pemantauan, manakala guru-guru dalam panitia mata pelajaran melakukan perbincangan sesama mereka dalam melakukan pertimbangan profesional terhadap murid.

*****Terima kasih kepada Guru Cemerlang SMK Bukit Payong Pokok Sena, Kedah, Dr Abdul Ghani Jalil atas perkongsian ini.

Artikel menarik

Cikgu Mardiana kongsi kaedah ingat struktur nefron menggunakan anggota badan

Petua anak hebat, cemerlang dan baik budi pekerti, Ustazah Aminah kongsi rahsianya