SUNGAI PETANI – Kira-kira 100 kuarters guru terbiar bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pasir dipercayai menjadi punca pembiakan nyamuk, sarang maksiat serta lokasi pembuangan sampah haram.

Hashim Osman, 56, berkata, disebabkan keadaan yang terbiar, usang dan tidak berpenghuni, kuarters berkenaan menjadi lokasi pembungan sampah haram sehingga timbunan sampah menutupi laluan masuk.

“Memang tak boleh masuk ke dalam dah sebab penuh sampah, kat sini juga besar kemungkinan jadi lokasi pembiakan nyamuk dan silap-silap ada haiwan berbisa juga,” dakwanya.

Menurutnya, selain mencacatkan pandangan, kuaters itu juga mengundang pelbagai risiko kesihatan termasuk terdedah dengan bahaya demam denggi, penyakit berjangkit, pencemaran alam dan masalah sosial.

Sementara itu, Khairul Anuar Zainol, 43, berkata, sekiranya dibaik pulih ia sebenarnya boleh memberi manfaat kepada golongan muda sekali gus membantu kerajaan menyediakan rumah kepada golongan sasar.

“Kos baik pulih sudah pasti membabitkan dana yang besar, namun jika dibiarkan begitu sahaja, ia tetap mencacatkan mata sesiapa sahaja.

“Kawasan ini pula dikelilingi taman perumahan, rumah kampung, berdekatan dengan sekolah dan lokasinya bertentangan dengan jalan yang sering dilalui penduduk,” katanya.

Beliau turut bimbang sekiranya surau yang dibina dalam kawasan itu juga disalahgunakan.

“Dulu memang ada orang mai melepak, buat maksiat dan lain-lain, kelengkapan kuarters juga banyak dah hilang termasuk perabot yang dibekalkan kerajaan,” katanya.

Selain itu, Helmi Abu Bakar, 47, berkata, sebelum ini ada permohonan dari jawatankuasa pemuda kariah masjid untuk menganjurkan gotong-royong membersihkan kawasan itu untuk dijadikan pusat komuniti setempat.

Namun, difahamkan, ada perancangan yang ingin dilaksanakan termasuk desas-desus mengatakan ia akan dijadikan tempat tahanan sementara pendatang asing tanpa izin.

“Kita minta sangat jika kerajaan tak mampu, kami akan bersihkan namun kami berhasrat mewujudkan pusat komuniti setempat untuk jalankan pelbagai aktiviti.

“Bagaimanapun, tiada sebarang jawapan rasmi diperolehi setakat ini di mana permohonan dihantar tahun lalu kepada kerajaan terdahulu,” katanya.

Difahamkan, kuarters berkenaan dibina lebih 20 tahun lalu dan terbiar hampir 10 tahun menyebabkan ia kini menjadi usang dan terbiar.

Tinjauan Sinar Harian ke lokasi berkenaan mendapati kawasan berkenaan agak sunyi, menakutkan kerana dipenuhi semak, malah timbunan sampah menyebabkan laluan masuk ke kuarters tertutup.