KULIM - Pertubuhan Jalinan Ikhlas Kulim menyampaikan sumbangan Ramadan dan Aidilfitri kepada 142 pelajar tahfiz dari empat sekolah di sini baru-baru ini.

Pengerusinya, Azizah Che Su berkata, sumbangan itu dibuat untuk memastikan pelajar terlibat dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri dengan lebih gembira.

Menurutnya, antara sekolah yang menerima sumbangan berkenaan adalah Maahad Tahfiz Manar, Pusat Tahfiz An Nurien, Tahfiz Thurts Raudatul Barakah dan Pusat Tahfiz Almunawwar.

“Sumbangan yang disampaikan berupa makanan keperluan harian dan program ini akan diteruskan sehingga Aidilfitri.

“Saya sangat berharap bantuan seumpama ini terus mendapat keprihatinan penderma kerana masih ramai di luar sana yang memerlukan bantuan,” katanya.