Sebanyak 30 unit peranti berupa tablet berjaya dikumpul warga pendidik Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Wan Kemara, Changlun, Kedah, baru-baru ini, untuk diagihkan kepada murid-murid yang layak.

Projek yang dinamakan Kemara Prihatin dan diketuai  Cikgu Abd Razak Mahmud sebagai penyelaras projek bertujuan membantu dan memudahkan murid-murid mengikuti pembelajaran secara kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada masa sekarang

“Memiliki peranti pada masa kini bagaikan satu kewajipan buat murid-murid.

“Ini kerana, proses PdPR berlangsung setiap hari menerusi gajet berkenaan.

“Kerana itu, kami sebagai pihak sekolah bertanggungjawab untuk membantu anak-anak didik mengikuti pembelajaran dengan sempurna. Justeru, pengagihan 30 tablet beserta capaian internet secara percuma ini, sangat tepat pada yang memerlukan,” katanya yang merupakan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) sekolah.

Terdahulu, projek Kemara Prihatin telah dimulakan pada awal Januari lalu dengan kutipan sumbangan daripada guru-guru untuk membeli tablet tersebut.

Dengan sejumlah wang yang dikumpul itu, sebanyak 20 tablet berjaya dibeli dan bakal diserahkan kepada murid-murid yang layak.

Melihatkan kejayaan program, ramai pihak luar seperti orang perseorangan dan pihak swasta turut bersedia untuk membantu. Justeru, kutipan sumbangan dilakukan dan akhirnya 10 tablet lagi berjaya dibeli sehingga menjadikan keseluruhan tablet adalah 30 unit.   

Sementara itu, Guru Besar, Mohd Nizam Saidin berkata, selain sumbangan peranti, program Kemara Prihatin juga pernah menyumbang keperluan makanan kepada keluarga murid yang terjejas.

“Sebelum ini, kita telah agih barangan keperluan harian kepada mereka yang berkenaan.  

“Kita juga pernah menyediakan makanan untuk petugas barisan hadapan seperti polis, tentera dan pihak kesihatan,” ujarnya dengan menambah pihak sekolah akan terus menambah bilangan peranti daripada masa ke semasa sekiranya ada sumbangan orang luar dan sektor swasta yang lain.

Artikel menarik

Didik Mahir bantu pelajar Pendidikan Khas berdikari, ibu bapa gembira dan ucap terima kasih

Cikgu Korea kongsi tujuh pesanan ringkas, mudahnya mendirikan solat. Anak-anak mesti suka