ALOR SETAR - Sebanyak 36 buah Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kedah terpilih menjadi perintis bagi program ‘Eco-Schools' yang bertujuan memupuk kesedaran memelihara alam sekitar dalam kalangan pelajar sekolah.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata program anjuran Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) dengan kerjasama Green Growth Asia Foundation (GGAF) dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah itu akan dijalankan selama tiga tahun bermula tahun hadapan.

"Kedah merupakan negeri kedua yang terlibat dalam program ini selepas Melaka dan sekolah yang terpilih ini akan menjadi 'duta' di kawasan setempat sekolah masing-masing dalam usaha untuk mencari penyelesaian kepada isu alam sekitar yang berlaku.

"Para pelajar dan warga sekolah akan diberi pendedahan mengenai cara menjaga, memelihara dan menjadi agen dalam memastikan kelestarian alam di negeri ini dengan bimbingan pihak GGAF," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan program ‘Eco-Schools’ peringkat negeri di Pusat Sains Negara Cawangan Alor Setar yang turut dihadiri Ahli Jawatankuasa Penasihat dan Penasihat Strategik GGAF, Datuk Lim Sue Beng dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar negeri Simon Ooi Tze Min.

Mukhriz berkata melalui program berkenaan, ia juga dapat mendidik pelajar untuk mengubah sikap dan pemikiran serta mempraktikan amalan hidup yang baik terutama dalam penjagaan alam sekitar bermula daripada usia muda.

"Mereka (pelajar) juga akan diberi pendedahan mengenai isu-isu berkaitan alam sekitar termasuk perubahan iklim dan pencemaran. Saya harap program ini akan menjadi landasan kepada sekolah untuk menyumbang ke arah peningkatan kualiti alam sekitar.

"Kerajaan negeri juga sangat komited dalam penjagaan alam sekitar ini dan banyak usaha telah diambil termasuk 'Agenda Hijau' yang dilancarkan sebelum ini untuk menerapkan kepentingan memelihara alam sekitar di dalam pembangunan," katanya.

Sementara itu, Lim berkata program itu melibatkan fasa persediaan bagi tahun pertama, manakala tahun kedua adalah untuk pelaksanaan dan tahun ketiga adalah bagi penyediaan laporan pencapaian dan penganugerahan.

"Kami harap semua sekolah di negeri ini terlibat, tapi sebagai permulaan hanya 36 sekolah perintis terpilih dan mungkin pada masa hadapan jumlah sekolah akan ditingkatkan demi kesejahteraan dan kelestarian alam di Kedah," katanya. - Bernama

Artikel Menarik:

Cikgu boleh buat senaman ringkas untuk elak murid mengantuk...mereka pasti bertenaga selepas itu

Tip beli baju sekolah anak... khas untuk ibu bapa anak sulung tahun satu 2020

'Tak jadi marah bila tengok tulisan murid tahun enam' - Cikgu Norashikin dedah siapa pemiliknya

Selipar lusuh dikutip lalu direka menjadi mainan sendiri...idea pelajar ini tarik perhatian netizen