ALOR SETAR - Calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang lemas ketika mandi di kolam di Air Terjun Puncak Janing, Kuala Nerang tidak menyangka mimpi mangsa menjadi kenyataan.

Rakannya, Muhammad Azim Mohamad Zamri, 16, berkata, dia diberitahu rakannya yang turut sama mandi di kolam berkenaan bersama mangsa, Mohd Razlan Sabarudin bahawa mangsa ada bermimpi dirinya lemas sebelum ini.

Menurutnya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Ahmad terbabit memaklumkan kepada rakannya semalam bahawa dia ada bermimpi bahawa dirinya lemas ketika mereka berbual di kediaman remaja itu.

“Bagaimanapun, saya tidak sangka ia benar-benar berlaku. Lebih sedih dan terkilan, saya tidak sempat selamatkan arwah Lan disebabkan kedudukannya yang agak jauh,” katanya kepada Sinar Harian.

MUHAMMAD AZIM

Menurutnya, mereka ke air terjun berkenaan untuk memancing bagi mengisi masa terluang sempena cuti persekolahan.

“Saya naik dahulu ke atas untuk memancing. Saya ingat kawan-kawan ikut. Bila saya perasan mereka tiada, saya turun semula ke kawasan kolam sebelum melihat dua rakan terkapai-kapai,” katanya.

Muhammad Azim berkata, dia kemudian sempat menarik salah seorang rakannya, bagaimanapun tidak dapat menyelamatkan Mohd Razlan sebelum dibantu orang awam.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.04 pagi.

“Sehubungan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Johari Saad bersama tujuh anggota dan dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mangsa lemas dalam kolam atas bukit di kawasan air terjun iaitu 400 meter dari parkir ke lokasi kejadian.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa mandi bersama rakan-rakannya sebelum lemas dan telah diselamatkan orang awam,” katanya.

Menurutnya, mangsa diselamatkan orang awam sebelum jentera tiba.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Hospital Kuala Nerang.