KUPANG - Seorang bayi berusia sembilan bulan maut selepas memakan epal lenyek di sebuah taska, di sini semalam.

Kejadian berlaku pada sesi makanan ringan di taska berkenaan pada jam 9.15 pagi.

Ibu mangsa, Munirah Abd Rahman, 38, dari Kampung Landak  berkata, anaknya, Muhammad Fawwas Muhammad Fadlan  meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Baling pada jam 10.30 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian anaknya diberikan buah epal yang dilenyekkan.

"Kemudian makanan yang sama disuap kepada seorang lagi anak pengasuh perempuan seusia anak saya," katanya kepada Sinar Harian.

Munirah berkata, bayinya kemudian menangis dan  keadaannya lemah serta tidak bermaya.

"Anak saya belum ada gigi, mungkin ketika anak mengunyah dia tertelan terus.

"Pengasuh yang menyangka anak tercekik mengorek kerongkongnya dengan jari, tetapi tak ada apa," katanya.

Menurutnya, pihak taska kemudiannya  menghantar Muhammad Fawwas ke Klinik Kesihatan  Kampung Landak.

"Selepas itu anak dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan  lanjut dan disahkan meninggal dunia di sana," katanya. 

Guru Sekolah Menengah Agama (SMA) Diniah Islamiah itu berkata, kejadian menimpa anak bongsu daripada enam beradik itu diketahuinya ketika berada di sekolah.

"Pihak taska ada menghubungi saya tetapi panggilan tidak terjawab kerana sedang mengajar.

"Saya hanya mengetahui perkara ini daripada kawan yang  dihubungi pihak taska ," katanya.

Katanya, dia dan suami Muhammad  Fadlan Saidin, 38, menerima takdir dengan reda.

"Kami dapat terima ujian ini. Daripada anak sulung hinggalah anak bongsu semuanya kami hantar ke taska yang sama," katanya.

Terdahulu, tular WhatsApp Muhammad Fadlan yang merupakan  AJK Pemuda Pas Baling memohon doa untuk anaknya yang sedang diberikan rawatan pernafasan.