Cara hidup menentukan bagaimana cara kita mati.

Cara mati menentukan bagaimana kita dibangkitkan dimahsyar nanti. Itulah pesanan Imam Al Ghazali kepada kita.

Berbalik kepada pemergian Allahyarham Ustaz Ku Yaacob Ku Hashim. Antara pesanan beliau yang dikongsikan kembali oleh sebahagian rakan-rakan dalam group alumni SMKA Kedah sedikit sebanyak dirasai oleh saya.

Benar kata cerdik pandai, orang yang pertama mendapat kebaikan daripada sesuatu kebaikan yang dilakukan, adalah orang yang melalukan kebaikan itu sendiri.

Tangan yang menghulurkan bunga mawar, pasti berbau harum. 

Antara pesanan beliau kepada para pelajar beliau:

Pertamanya, lazimkan diri dalam keadaan wuduk kerana kita tidak tahu bila Allah nak ambil nyawa kita. Alhamdulillah, nyawa Allahyarham diambil dalam keadaan beliau berwuduk.

Keduanya, jangan tinggalkan Al Mathurat. Mudah-mudahan dengan berkat zikir kita tidak terkena fitnah sakaratulmaut.

Memang benar saat sakaratulmaut itu amat sakit dan merupakan saat kritikal kita untuk bertemu ALLAH.

Tetapi Allahyarham menghadapi sakaratul maut dalam keadaan berwuduk dan usai memuji ALLAH, berselawat dan sedang memberi pesan berkaitan taqwa diatas mimbar. Allahuakbar, ia merupakan saat sakaratulmaut yang sangat indah dan dicemburui oleh orang-orang beriman.

Ketiganya, pesanan beliau jangan tinggalkan membaca ayat Kursiy.

Keempat, sentiasa membaca doa “Allahumma Ajirni Minannar”, mudah-mudahan Allah jauhkan kita daripada api neraka.

Masih teringat pesan beliau, seeloknya zikir ini dibaca selepas solat dengan lafaz “aku” bukan “kami” kerana kita perlu meminta dijauhkan daripada api neraka secara bersendirian selepas solat bukan beramai-ramai.

Kelima, beliau pernah berpesan supaya ketika memberi salam jangan hanya mengangkat tangan semata-mata tetapi sertakan dengan memberi salam kerana itu membezakan antara kita orang Islam dan bukan Islam.

Saya bukanlah orang yang rapat dengan beliau, tetapi pesanan dan amalan beliau amat berbekas di hati kami anak-anak murid beliau.

Beliau pernah merajuk dengan kami ketika mengajar di surau.

Lazimnya kuliah mingguan beliau adalah pada hari Sabtu malam Ahad menggunakan kitab arab. Pernah beliau mengajar satu bab daripada kitab 'Al Azkar', kitab 'Sabilul Muhtadin' dan sebagainya.

Pada hari tersebut, para pelajar baru pulang dari rumah ke asrama.

Disebabkan hari pertama persekolahan, ramai yang datang ke surau pada malam tersebut tidak membawa “makalah” kitab serta bersembang ketika beliau sedang berkuliah.

Tiba-tiba beliau berhenti mengajar dan terus pulang.

Kami terkejut. Gampar dalam kalangan kami Ustaz Ku merajuk.

Kelam kabut dibuatnya. Keesokan harinya, kami beramai-ramai beratur dibilik guru meminta maaf kepada beliau. Alhamdulillah, kuliah disurau pada Sabtu malam Ahad seterusnya berjalan seperti biasa.

Beliau sebenarnya bukan merajuk, tetapi mahu memberi kesedaran kepada kami supaya lebih cinta dan menghargai ilmu Turath yang hidup subur di bumi SMKA Kedah pada ketika itu.

Pada setiap hari Jumaat, ada kelas fardhu ain di mana para pelajar didedahkan dengan kitab 'Muniyatul Musolli', 'Hidayatus Sabiyan', 'Matla’ Badrain' dan sebagainya manakala pada sebelah malam, beliau mengajar kitab Turath Arab.

Saya yakin, jika peluang ini diambil oleh kami pada ketika itu dengan sebaiknya, nescaya pada hari ini pelajar lepas SMKA Kedah tidak kekok membaca kitab kuning.

Tetapi sayang, ramai yang tidak fokus dan lena ketika sesi menadah kitab berjalan.

Satu lagi pengalaman menarik bersama beliau adalah ketika kami sama-sama menginap di dorm asrama SMK Segambut Jaya.

Pada petang tersebut, sebaik masuk ke dalam bilik kelihatan Allahyarham sedang meniarap sambil mentadabbur Al Quran. Beliau sebenarnya keletihan selepas melalui perjalanan jauh daripada Kedah bersama kami.

Inilah kali pertama saya melihat orang mentadabbur Al Quran sambil meniarap diatas katil dan bantal dan peristiwa ini melekat sehingga hari ini.

Setiap melewati ayat surah 'Ali Imran' yang mencerita tentang orang yang berzikir ketika berdiri, duduk dan berbaring untuk mengingati Allah saya akan teringat kepada beliau yang mentadabbur Al Quran dalam keadaan meniarap disebabkan keletihan.

Membaca Al Quran seperti kelaziman kami diusia remaja pada ketika itu membaca novel atau komik 'Dragon Ball', 'Pedang Setiawan' dan 'Pendekar Laut' di atas katil asrama sambil meniarap.

Semua dalam kalangan kita mengharapkan kematian yang baik tetapi tak ramai dalam kalangan kita terus beramal membuat kebaikan bagi mendapat kematian yang baik.

Pesanan buat diri, marilah sama-sama kita beramal mudah-mudahan ALLAH kurniakan kematian yang baik kepada kita.

Kepada anak-anak murid ustaz, jom sama-sama kita beramal dengan pesanan ustaz. Mudah-mudahan kita akan mendapat kebaikan daripada amal tersebut.

Semoga ALLAH merahmati dan mengampuni arwah.

Faisal Mustaffa, Jitra, Kedah, 4 Syawal 1440H

Coretan yang dimuatnaik di Facebook Faisal Mustaffa ini mendapat 2,100 respon dan dikongi 2,100 warganet.

Artikel lain:

Bekas pelajar kongsi pesanan Allahyarham Ustaz Ku Yaacob semasa di SMKA Kedah

'Semua anak murid sayang abah' - Anak Allahyarham Ustaz Ku Yaacob

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

Bagaikan sedang belajar di Istana Inggeris... kreativiti cikgu SMK Pakan ini luar biasa

'Nak naik kereta mana' - Cikgu ini sembunyi perasaan terkejut bila tengok kereta bekas pelajar

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan