ALOR SETAR - Persembahan bicara berirama yang dipersembahkan pada awal Seminar Celik Kewangan 2.0 Sabtu lalu berjaya menarik perhatian peserta program itu.
Rata-rata peserta terhibur dengan persembahan kumpulan berkenaan yang turut diselitkan dengan lawak jenaka berunsurkan nasihat kewangan kepada orang ramai.
Namun, mungkin ramai yang tidak tahu persembahan hebat itu adalah hasil kerja keras pelajar kategori masalah pembelajaran dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Merbok.
Guru pembimbing, Nur Rawaidah Rahmat berkata, kumpulan berkenaan ditubuhkan sejak dua tahun lalu dengan ahli seramai 25 orang.
Katanya,mereka sering menyertai pelbagai pertandingan di sekitar utara dan terbaharu dijemput mengadakan persembahan di program Seminar Celik Kewangan 2.0 di Hotel Royale Signature di sini Sabtu lalu.
"Bagi persembahan berkenaan, kami mengambil masa selama sebulan untuk berlatih dan menghafal skrip dan formasi.
"Latihan diadakan dua kali sehari iaitu pada sesi petang dari jam 3 hingga 5 petang dan sesi malam selepas waktu Isyak," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, cabaran yang dihadapi dalam melatih kumpulan berkenaan adalah daripada segi hafalan dan cara sebutan.
"Pelajar-pelajar ini adalah golongan yang berkeperluan khas yang mana kita perlu menggunakan teknik khas untuk memudahkan mereka menghafal.
"Antaranya saya dan guru-guru pembimbing yang lain iaitu Hasyim Nawwaf Mohd Mokhtar dan Zuita Hazwani Mohd Hasim menggunakan papan putih untuk menulis ayat-ayat yang perlu dihafal.
"Bagaimanapun, Alhamdulillah dalam tempoh sebulan sahaja kumpulan ini sudah berjaya menghafal dan membuat pergerakan dengan sempurna," katanya.
GURU pembimbing yang bertungkus lumus melatih pelajar mereka. Dari kiri, Zuita Hazwani, Nur Rawaidah dan Hasyim Nawwaf.
Beliau berkata, selain itu cabaran kedua yang terpaksa dihadapi adalah untuk menghasilkan skrip dan juga formasi.
"Skrip pada kali ini agak mencabar kerana ia berdasarkan fakta mengenai kewangan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Jadi saya dan rakan guru perlu membuat rujukan supaya setiap cerita yang diketengahkan dalam persembahan tidak lari daripada fakta sebenar.
"Namun ia sebenarnya bagus untuk kami kerana secara tidak langsung menambah pengetahuan kami tentang KWSP dan cara mengurus kewangan dengan betul," katanya.
Sementara itu, ketua kumpulan, Nuh Asyraf Mohd Asmizan, 16, berkata, dia banyak menerima tunjuk ajar daripada guru pembimbing sepanjang latihan berlangsung.
"Jika diikutkan memang agak sukar nak hafal gaya, liriknya ada yang panjang ada yang pendek. Tapi atas sokongan guru-guru semuanya berjalan lancar," katanya.
Fatin Athirah Ahmad,18, pula berkata, mereka selalu menghafal dalam kumpulan untuk memudahkan mereka mengingat ayat-ayat yang perlu dihafal.
"Selalu kami hafal ramai-ramai di asrama atau masa sesi latihan. Seronok sebenarnya terlibat dalam aktiviti ini, kalau ada peluang lagi selepas ini, saya teringin nak masuk lagi," katanya.
Bagi Nurul Shuhada Mohd Zaini, 18, penyertaannya dalam persembahan berkenaan banyak membantunya meningkatkan keyakinan diri ketika berhadapan dengan orang ramai.
"Kalau sebelum ini rasa segan dan kekok bila nak bercakap dengan orang ramai. Tetapi lepas terlibat dalam bicara berirama ini, saya lebih berkeyakinan,"katanya.
Artikel Menarik:
Cikgu boleh buat senaman ringkas untuk elak murid mengantuk...mereka pasti bertenaga selepas itu
Tip beli baju sekolah anak... khas untuk ibu bapa anak sulung tahun satu 2020
'Tak jadi marah bila tengok tulisan murid tahun enam' - Cikgu Norashikin dedah siapa pemiliknya
Selipar lusuh dikutip lalu direka menjadi mainan sendiri...idea pelajar ini tarik perhatian netizen