JITRA - Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di negeri ini dinasihatkan supaya tidak lalai dengan gajet seperti telefon bimbit hanya kerana keseronokan semata-mata.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan  Kebajikan, Halimaton Shaadiah Saad berkata, dalam era informasi boleh diperolehi di hujung jari, pelajar diminta memanfaatkannya untuk mencari maklumat berguna bagi meningkatkan ilmu.

“Baru-baru ini terdapat berita yang tular mengenai seorang pelajar  yang gagal hadir ke sekolah selama lebih 50 hari kerana leka bermain permainan telefon sehingga pihak sekolah terpaksa menggunakan khidmat polis untuk menjemput pelajar tersebut.

“Saya harap kejadian itu menjadi iktibar kepada pelajar supaya tidak  leka dengan keseronokan, sedangkan di usia sebegini, anda semua seharusnya menimba ilmu sebagai bekalan untuk membina kerjaya dan kehidupan di masa hadapan,” katanya.

Semalam, beliau mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz  Mahathir merasmikan Bengkel Pecutan Akhir UPSR dan PT3 2018 di Pahlawan Training and Adventure Resort, di Binjai Jitra, di sini.

Bengkel persediaan UPSR dan  PT3 yang dianjurkan selama dua hari itu disertai oleh 120 peserta melibatkan lapan buah sekolah rendah dan lapan sekolah menengah.

Pada program itu, pelajar didedahkan dengan teknik  menjawab soalan, selain motivasi sebagai persediaan dari segi mental untuk menghadapi peperiksaan  utama itu.