SEKOLAH Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah, menampilkan imej lebih ceria dengan menonjolkan bangunan berwarna-warni yang dicat baharu sempena sesi persekolahan 2020.

Guru Besar SK Dato’ Wan Kemara, Mohd Nizam Saidin berkata, ia merupakan hasil idea guru dan pengurusan sekolah yang berhasrat membangkitkan semangat untuk belajar dalam kalangan murid serta menyediakan suasana pembelajaran lebih kondusif dan menarik.

Menurutnya, persekitaran dalam kelas juga dibuat penambahbaikan apabila meja murid dicat mengikut kumpulan.

“Ada juga yang melekatkan kertas dinding mengikut kreativiti masing-masing,” katanya ketika ditemui di SK Dato’ Wan Kemara di sini semalam.

Keunikan warna bangunan sekolah itu menjadi tarikan media cetak dan digital hingga mendapat pelbagai komen positif.

Mohd Nizam berkata, aktiviti mengecat dilakukan ketika musim cuti persekolahan yang lalu dan beliau turut berbangga apabila mendapat kerjasama daripada guru-guru dan ahli keluarga murid-murid dalam menjayakan hasrat berkenaan.

“Berkat komitmen semua pihak, kerja terbabit selesai dalam tempoh tiga minggu sahaja dengan jumlah peruntukan sebanyak RM7,000,” katanya.

Katanya, suasana sekolah yang ceria dan menarik membantu proses kemenjadian murid yang akhirnya melahirkan generasi berdaya saing.

“Kami melibatkan murid dalam setiap aktiviti keceriaan untuk mendidik mereka tentang aspek kebersihan dan nilai sayangkan sekolah, malah selepas waktu rehat, kawasan sekolah juga bersih daripada sampah sarap kerana kita sudah menerapkan budaya kebersihan kepada mereka,” katanya.

Beliau berharap sekolah berkenaan dijadikan sebagai sekolah contoh dan pusat pembelajaran menyeronokkan untuk murid serta tarikan kepada orang luar melawat sekolah itu.

Artikel berkaitan:

SK Dato' Wan Kemara sapu bersih anugerah kecemerlangan - Guru besar ini kongsi tip

Empat murid SK Dato' Wan Kemara menang lagi pertandingan peringkaf antarabangsa - Ini pesan guru besar

Murid Tahun Lima SK Dato' Wan Kemara harumkan nama negara di peringkat antarabangsa

Murid SK Dato' Wan Kemara terkejut bila masuk kelas... tak sangka ini yang cikgu mereka buat

PIBG SK Dato' Wan Kemara buat ini hingga mampu sumbang van kepada sekolah