AYER HITAM - Seorang murid sebuah sekolah di Ayer Hitam dekat sini mendakwa menjadi mangsa buli tiga murid lain iaitu seorang lelaki dan dua perempuan di sekolah itu sejak tahun lalu.

Kanak-kanak berusia 9 tahun itu yang dikenali Angah kini tidak dapat berjalan dengan sempurna dan bergantung kepada kerusi roda selepas mengalami tekanan di bahagian tulang belakang didakwa berpunca daripada kejadian buli tersebut.

Pada 15 Julai lalu, Angah ditahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas mengadu sakit kaki dan sukar berjalan dan hasil Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) mendapati tulang belakang C5 dan C6 bengkok dipercayai terhenyak.

Artikel berkaitan: Pihak sekolah mohon maaf, guru besar janji tangani kes murid dibuli hingga berkerusi roda

Angah mendakwa, dia pernah ditendang di bahagian belakang dan paha selain diperas ugut merampas wang saku yang dibawa ke sekolah oleh si pelaku.

“Kadang-kadang depa terajang, depa sepak belakang, sepak pinggang lepas tu paling saya tak suka, dia macam nak bagi tahu saya tak bayar balik duit saya yang pinjam kat dia.

“Depa buat adik dari darjah dua, sorang laki dua perempuan, dia kata abah sakit mental abah gila, satu keluarga kami tak cerdik, dok mengata.

“Kadang-kadang (paw) tiga ringgit empat ringgit depa ambil dalam poket, kadang-kadang saya bawa duit syiling, depa tak ambil, depa ambil duit kertas sahaja,” katanya ketika ditemui rumah mereka dekat sini.

Sementara itu, ibu angah mahu dikenali sebagai Asma, 32, berkata, dia kesal apabila pihak sekolah menafikan perkara berkenaan.

Jelasnya, perkara tersebut hanya diketahui selepas melihat Angah sukar berjalan malah anaknya tidak mahu ke sekolah sejak Jun lalu.

“Dia mula jalan tak macam biasa sejak pertengahan tahun lepas. Awal tahun ini, saya nampak dia jalan makin teruk.

“Terbaru dia balik habaq kat saya cikgu suruh lompat bintang, dia tak boleh buat cikgu marah, dia balik menangis kat saya. Kemudian saya bawak pi klinik, rujuk pakar kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyah,” katanya.

Sementara itu, bapa Angah yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 33, mengakui sedih dengan kejadian tersebut.

Menurutnya, dua laporan polis telah dibuat pada 12 Ogos di Balai Polis Jitra.

Tambah Ahmad, anaknya akan menjalani pembedahan pada 27 Ogos depan, namun tidak ada wakil sekolah yang menjenguk Angah setakat ini.

Perkara tersebut turut mendapat perhatian Pegawai Psikologi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Wan Su Haron yang juga merupakan Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang turun padang melawat keluarga itu.

Sementara itu, Exco Pendidikan Kedah, Dr Salmee Said ketika dihubungi memaklumkan beliau akan meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah menyiasat dakwaan tersebut.

Baca:

Cikgu ini kongsi rahsia skor markah mengikut seksyen soalan Bahasa Inggeris Penulisan UPSR

10 topik Sains wajib ulang kaji menjelang UPSR - Ramalan Guru Pakar Sains, Cikgu Zazolnizam

Tip akhir menjelang UPSR , guru ini kongsi rahsia cemerlang dalam penulisan Bahasa Melayu

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi