YAN - Didikan ilmu agama dari usia muda sangat penting bagi memastikan seseorang individu itu berjaya dalam kehidupan.

Muhamad Fikri Ishak, 38, merupakan seorang imam muda di Masjid Ubudiah Padang Lumat, Yan.

Selain daripada memegang tanggungjawab sebagai seorang imam, Muhamad Fikri juga merupakan seorang Guru Besar di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum, Alor Setar.

Menurut Muhamad Fikri, kejayaan beliau kini adalah hasil didikan awal ibu bapanya, Ishak Omar dan Zainab Salleh.

“Semasa kecil saya sudah didedahkan dengan ilmu agama apabila rumah saya dijadikan asrama buat pelajar sekolah agama Pondok Pak Ya pada ketika itu,” katanya.

Menurutnya, hampir 40 pelajar lelaki tinggal di rumahnya selama 15 tahun dan bapanya berperanan sebagai guru tafsir di sekolah berkenaan.

“Selain daripada guru tafsir, ayah saya juga merupakan seorang guru al-Quran di kampung dan kalau ayah pun cikgu al-Quran anaknya mestilah wajib pandai membaca al-Quran,” ujarnya.

Anak jati Kampung Batu 16, Padang Lumat ini merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik.

“Enam adik beradik saya turut bergelar guru dan darah pendidikan umpama sebati dalam jiwa kami.

“Saya sendiri turut menjadi guru agama di Kolej Giat Mara selain daripada mengajar di masjid,” katanya.

Berkongsi latar keluarganya, Muhamad Fikri mengakui beliau mempunyai hubungan salasilah dengan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Maka tidak hairanlah, rupa parasnya juga turut menyamai anak tuan guru berkenaan iaitu Nik Mohamad Abduh.

“Mak ayah saya merupakan masing-masing anak tok guru jadi dalam kehidupan kami adik beradik memang diasuh dengan ilmu agama.

“Setiap hari perlu solat berjemaah dan membaca al-Quran bersama,” katanya.

Muhamad Fikri bersama anugerah yang pernah diterima.

 

Dalami pengajian di Mesir

Menurutnya, pada tahun 2000, beliau menyambung pengajian ke Universiti Al Azhar untuk mendalami bidang kuliah Usuludin Pengkhususan Hadis.

Katanya, sepanjang di sana banyak pengalaman yang ditimba, termasuk dilantik menjadi Presiden Kelab Usahawan Bumiputera Mesir dan Yang DiPertua Kelab Pelajar Kedah di Mesir.

“Balik saja dari Al Azhar saya dilantik sebagai panel syariah Hub halal di PTCC Perak sehingga 2012.

“Kebetulan guru besar Sekolah Yayasan Darul Ulum diserang strok dan Dewan Pemuda Pas meminta saya menjadi pemangku jawatan berkenaan.

“Sehingga sekarang saya masih menjadi guru besar sekolah berkenaan di Teluk Bagan, Alor Setar,” katanya.

Berpengalaman sebagai imam sejak tiga tahun lalu mengajar Muhamad Fikri untuk lebih dekat dengan masyarakat.

Sebagai imam, terdapat beberapa perkara yang diberi keutamaan oleh Muhamad Fikri antaranya ialah bancian anak qariah.

“Melalui bancian kita akan dapat mengetahui keadaan penduduk dan isi rumah mereka dan pemantauan dapat dilakukan bagi menggalakkan mereka datang ke masjid,” jelasnya.

Penuhi undangan ceramah

Dalam kesibukan, Muhamad Fikri turut memenuhi undangan berceramah ke luar negara seperti Indonesia.

Menurut bapa kepada empat orang anak ini, kejayaan beliau juga adalah hasil sokongan isterinya, Illyana Mohamad Rosdi, 34.

“Isteri saya merupakan suri rumah sepenuh masa dan beliau sangat cekap menguruskan anak-anak.

“Setiap tahun saya akan membawa rombongan menunaikan umrah dan isterilah yang menguruskan anak-anak di rumah.

“Saya sangat berharap segala kerja buat kita untuk agama akan dikira oleh ALLAH dan kehidupan kita dikelilingi kebaikan,” katanya.

Selain sibuk dalam bidang agama, beliau juga tidak ketinggalan menyertai politik.