BALING - Seorang Penolong Kanan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Siong menerima anugerah Ikon Guru Pendidikan Khas sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Baling 2019, baru-baru ini.

Siti Rosni Ahmad, 42, berkata, anugerah ikon tersebut kali pertama diterimanya. 

“Saya sangat gembira dan teruja dan tidak pernah terduga atau bermimpi akan dapat anugerah seperti ini kerana masih banyak lagi perlu dipelajari. Kekurangan yang ada dalam diri akan ditambah baik lagi,” katanya.

Beliau berkata, anugerah diterima  itu menyuntik semangatnya untuk terus berbakti mendidik murid berkeperluan khas (MBK).

“Anugerah ini menunjukkan semua  pihak memberi kepercayaan dan keyakinan yang tinggi kepada saya.

“Justeru, saya perlu lebih giat berusaha dan bekerja dengan lebih bersemangat,” katanya.

Siti Rosni berkata, banyak perkara yang mendorong kejayaan itu terutamanya  pengorbanan masa dan tenaga oleh para guru dan kakitangan.

“Tidak lupa sumbangan masa dan tenaga oleh anak-anak MBK serta waris  termasuk suami tercinta,” katanya.