ALOR SETAR - Seorang ibu tunggal tekad untuk kembali mengambil upah menyiang ikan dengan upah antara RM10 hingga RM15 sehari, bagi menyara dua daripada lima anaknya yang masih bersekolah, selepas suaminya meninggal dunia dua minggu lepas.

Salihah Ishak, 58, berkata walaupun upah diterimanya tidak seberapa, namun dia tetap untuk meneruskan pekerjaan itu sebagai punca pendapatan, bagi memenuhi keperluan keluarganya.

Dia merancang untuk kembali bekerja pada bulan hadapan, sekali gus akan menjalani rutin harian dengan mengayuh basikal sejauh kira-kira tujuh kilometer, untuk pergi ke pelantar ikan mengambil upah menyiang ikan yang didaratkan nelayan setiap pagi.

"Tiga tahun saya berhenti ambil upah menyiang ikan di pelantar ikan dekat Kuala Kedah, kerana perlu menjaga suami, Md Khir Hussien yang lumpuh seluruh badan, hinggalah hidup kami terhimpit, kini sudah sampai masanya untuk saya kembali mencari rezeki, untuk meneruskan kehidupan walaupun sakit-sakit urat dan pinggang hingga sukar berjalan.

"Kalau ikutkan hati memang dah tak larat, tetapi melihatkan kepada pencen suami bekerja di syarikat pelupusan sisa pepejal, E-Idaman Sdn Bhd (EISB) sebanyak RM700 sebulan, ia tidak mencukupi untuk kami meneruskan hidup,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Bersatu, Kuala Kedah di sini semalam.

Salihah berkata biarpun dia mempunyai dua lagi anak lelaki berusia 27 dan 30 tahun, tetapi mereka tidak dapat mampu membantunya, kerana masing-masing hanya bekerja kampung dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Saya kuatkan diri sebab ada seorang anak perempuan berada di Tingkatan Lima, yang menjadi harapan keluarga dan dua lagi anak berusia 15 dan 22 tahun yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) masalah pembelajaran,” katanya yang merayu sumbangan orang ramai bagi meringankan beban ditanggungnya itu.

"Selain itu, saya juga harus menanggung hutang suami yang mencecah ribuan ringgit, semasa suami saya jatuh sakit termasuk hutang cukai pintu, barangan runcit dan yuran Persatuan Ibu dan Guru (PIBG) sekolah anak-anak.

"Kehidupan kami sangat susah, walaupun ada yang membantu semasa suami saya terlantar atas katil, tetapi sekarang dia sudah tiada, dan saya tidak boleh terus mengharapkan ihsan orang selagi ada kudrat," katanya sambil menambah dua orang anaknya yang OKU itu mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menghubungi anak Salihah, Mohd Nazrin di nombor 017-4894655 atau menghulurkan sumbangan menerusi nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Salihah (0210841000070234). - Bernama

Artikel Menarik:

Guru SK Taman Cuepacs cipta kelainan, kumpul token dapat hadiah

'Arwah ibu mahu saya jadi contoh pada adik-adik' - Calon PT3 semangat belajar walaupun berbaring

'Pengetua gendong pelajar sakit ke klinik kesihatan' - Cara Cikgu Yok Huck buat ramai netizen sebak