ALOR SETAR - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah masih menunggu keputusan siasatan polis berhubung kes buli membabitkan seorang murid perempuan tahun tiga di sebuah sekolah di Ayer Hitam, Jerlun.

Pengarahnya, Abd Aziz Selaiman berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang maklum balas daripada polis mengenai perkara itu dan berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin bagi membolehkan tindakan susulan dilakukan.

 "Saya pun dah bagi penerangan kepada exco (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia Dr Salmee Said) berkenaan perkara itu, juga kepada Kementerian Pelajaran dan laporan polis juga telah dibuat, jadi kita tunggu hasil laporan polis untuk tindakan seterusnya (daripada pihak JPN).

"Sebabnya tindakan kita bergantung kepada hasil siasatan polis, namun setakat ini kita belum terima maklum balas lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan kemerdekaan anjuran Kolej Vokasional Alor Setar di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Depa terajang, depa sepak belakang' - Murid Tahun Tiga bengkok tulang belakang akibat dibuli]

Mengulas lanjut Abd Aziz berkata, JPN bersama Pejabat Pendidikan Daerah Kubang Pasu bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis agar mereka dapat melengkapkan siasatan itu.

"JPN juga sedaya upaya menangani isu ini secara berhemah dan apa yang telah kita lakukan ialah dengan menyumbang sebuah kerusi roda kepada murid itu untuk mudah dia bergerak,” katanya.

Pada 14 Ogos lepas, media melaporkan mengenai keadaan seorang murid perempuan yang menghadapi masalah tulang belakang bengkok dan terpaksa berkerusi roda, disyaki akibat dibuli rakan sekolahnya sejak tahun lepas.

Mangsa mendakwa dia sering dibuli oleh dua murid perempuan dan seorang murid lelaki dengan ditendang, ditolak sehingga jatuh tangga, dan dipukul di beberapa bahagian badan selain diperas ugut.

Selain terpaksa berkerusi roda, mangsa kini mengalami tekanan perasaan dan tidak mahu ke sekolah lagi kerana takut dibuli. - Bernama

ARTIKEL MENARIK:

“Kenapa tak nak pergi sekolah?”- Guru prihatin, pujuk murid nangis terus sauk bawa ke kelas

Suara macam artis, memang padu cikgu Muzik ni nyanyi lagu ‘Sumpah’ dalam kelas

Majlis kahwin Cikgu Samuel ‘gempak’, tak sangka 100 murid orang asli sanggup datang buat kejutan