KULIM - Seramai 160 peserta daripada 10 kelab dan persatuan serta 60 sekolah di daerah ini beraksi pada Kejohanan Taekwando Peringkat Sekolah-Sekolah Daerah Kulim - Bandar Baharu dan Jemputan Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Paya Besar Kali Pertama 2019 yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Keladi.

Pengerusi kejohanan, Othman Abdullah berkata, kejohanan sehari itu dianjurkan oleh Kelab Teakwondo Fusion bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan SK Jalan Paya Besar.

"Ianya diadakan bagi mencari atlit dari peringkat akar umbi untuk diketengahkan ke peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa.

"Kejohanan kali ini terbuka kepada semua aliran taekwondo dan persatuan," katanya.

Katanya lagi, kejohanan kali pertama itu turut mendapat perhatian pasukan Pulau Pinang dan Perlis yang menghantar wakil masing-masing.

"Sebanyak 50 kategori lelaki dan perempuan dipertandingkan dengan perasmian disempurnakan oleh Azman Nasrudin, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama," jelasnya.

Othman bergambar kenangan bersama pemenang pingat emas terawal kategori 5-6 tahun.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Islamic Teakwondo Academy, Asmahani Mahadi berkata, penganjuran program itu secara tidak langsung dapat memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di daerah itu mengenai kejohanan.

"Penyertaan menggalakkan itu membuktikan seni bela diri tersebut semakin menjadi piihan ibu bapa dalam mengisi kegiatan luar anak-anak mereka yang belajar di sekolah rendah," katanya.

Sebahagian ahli kelab Islamic Teakwondo Academy bergambar kenangan sebelum bermula kejohanan.