Lima buah sekolah di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap di Kedah yang dikaitkan dengan kluster PUI Sivagangga diarah tutup bermula hari ini sehingga 29 Ogos depan.

Tindakan itu diambil oleh kerajaan negeri dalam usaha menyekat penyebaran wabak COVID-19.

Kerajaan negeri, dalam kenyataan hari ini, berkata sekolah itu ialah sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, SMK Megat Dewa, sekolah Kebangsaan (SK) Hosba dan SK Megat Dewa di Kubang Pasu manakala di Padang Terap ialah SK Kubang Palas.

"Kesemua sekolah ini ditutup selama 28 hari yang melibatkan 14 hari tempoh kuarantin dan 14 hari tempoh pemerhatian," menurut kerajaan negeri itu.

Perkara itu diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mesyuarat bersama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor hari ini selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (TEMCO) di Mukim Ah, Mukim Hosba dan Mukim Binjal (Kubang Pasu) serta Kampung Ulu Padang Sanai (Padang Terap).

"Ia melibatkan kawalan pergerakan orang awam pada radius satu kilometer daripada Restoran Nasi Kandar Salleh, Napoh yang terlibat," katanya.

"Oleh itu, kesemua guru yang tinggal di kawasan TEMCO sama sekali tidak dibenarkan untuk hadir bertugas manakala guru yang tinggal di luar kawasan berkenaan tidak dibenarkan untuk ke sekolah yang berada berhampiran kawasan TEMCO.

"Guru yang tinggal dan bertugas di luar kawasan TEMCO tetapi perlu melalui kawasan berkenaan dibenarkan,” menurut kenyataan itu. - BERNAMA