PADANG SERAI - Lapan beranak terpaksa berhimpit di bilik kecil di Surau Al Qudwah Kampung Pematang Durian lebih tiga bulan lalu.

Ibu tunggal Zuhaida Abdul Wahab, 45, berkata, dia membawa tujuh daripada 10 anaknya tinggal di surau itu selepas bercerai dengan  suaminya lima bulan lalu.

Menurutnya, anak-anaknya yang tinggal bersama berusia di antara dua hingga 13 tahun manakala anak sulung sedang menuntut di sebuah universiti  tempatan dan dua lagi belajar di sekolah pondok.

“Sebelum ini kami berpindah-randah. Sekarang surau inilah tempat tinggal sementara kami,” katanya.

Zuhaida berkata, dia tidak mempedulikan keselesaan kerana tiada tempat tinggal untuk didiami.

“Memang tidak selesa kerana kami terpaksa berhimpit ketika tidur. Jika hujan lebat ular masuk ke bilik ini. Tapi kawasan semak di sebelah surau sudah  diracun,” katanya ketika menerima lawatan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pematang Durian Mohd Kamil Hashim dan Lajnah Kebajikan Pas Kawasan Padang Serai.

Katanya, walaupun menerima bantuan bulanan Lembaga  Zakat Negeri Kedah (LZNK) namun dia tidak mampu menyewa rumah kerana tanggungan anak  yang ramai selain hutang bulanan sebuah motosikal berharga RM200 sebulan.

“Motosikal itu untuk kemudahan kami anak beranak-beranak. Saya juga pernah mencari rumah sewa tetapi sewanya RM400 sebulan. Memang saya tak mampu kerana wang yang ada untuk perbelanjaan anak-anak,” katanya.

Menurutnya, dia pernah memohon bantuan rumah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) tetapi tidak diluluskan.

Mohd Kamil berkata, mereka sudah mengenal pasti sebuah rumah sewa untuk keluarga itu.

“Sebagai alternatif, MPKK bersama jemaah surau telah mengumpul dana dan sedang membaiki sebuah rumah dengan sewa RM220 sebulan.

Ketua Lajnah Kebajikan Pas Kawasan Padang Serai, Jusri  Mohd Nayan berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Lunas, Azman Nasrudin diharap dapat membantu keluarga tersebut tinggal di rumah KEDA.

Orang ramai yang mahu membantu boleh hubungi Jusri Mohd Nayan di talian 019- 4078184.

Artikel lain:

Murid Tahun Lima, adik Tahun Satu serta ibu rentung dalam kebakaran empat rumah semalam

KPM galakkan pihak swasta ketengahkan ilmu robotik di sekolah tahfiz

'Setiap hari datang ke sekolah, Tuanku wajib akan bawa bola' - bekas guru Al-Sultan Abdullah