SUNGAI PETANI - Seramai lapan pelajar Malaysia berjaya membawa pulang dua pingat perak dan enam gangsa dalam 16th Hanoi Open Mathematics Competition 2019, Vietnam baru-baru ini.

Penolong Pengarah Kanan Kokurikulum, Jabatan Pelajaran Kedah, Mohd Hafiz Mohd Salleh yang merupakan tutor kontinjen Malaysia ke pertandingan ini berkata, kejayaan tersebut hasil latihan intensif jurulatih profesional dari Pusat PERMATApintar Negara (PERMATApintar) dan disiplin serta kesungguhan peserta.

“Pemilihan murid yang terbaik dari seluruh negara melalui ujian pemilihan yang dijalankan pada tahun sebelumnya juga antara faktor yang mendorong kepada kejayaan ini,” katanya.

 

Ketua Kontinjen, Zalina Kamis berkata, lapan daripada 12 peserta Malaysia yang bertanding membawa pulang pingat sekali gus melakar kejayaan cemerlang berbanding kali pertama penyertaan pada 2018 dengan satu pingat perak dan dua pingat gangsa.

Beliau yang juga Penolong Pengarah Kanan Sub unit Sokongan Akademik (Sains & Matematik), Bahagian Pendidikan Sukan dan Seni, Kementerian Pendidikan berkata, selepas ini kontinjen negara akan menyertai International Mathematics Competition pada 2 hingga 6 Ogos 2019 di Durban, Afrika Selatan dan International Teenagers Mathematics Olympiad pada 13 hingga 17 Oktober di Lucknow, India.

“Mereka juga berpeluang menyertai Primary Mathematics World Contest pada Julai depan di Hong Kong dan International Mathematics & Science Olympiad November nanti di Ho Chin Minh City, Vietnam,” katanya.

Selain Malaysia, pertandingan itu turut disertai 13 negara lain iaitu Poland, Hungary, Taiwan, China, Filipina, Iran, Indonesia, Sepanyol, Thailand, Myanmar, Nepal, UAE dan tuan rumah Vietnam.