ALOR SETAR - Lima murid termasuk seorang perempuan mencipta sejarah apabila terpilih mewakili Malaysia dalam Kejohanan Bola Sepak MILO Champions Cup di Barcelona, Sepanyol yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Adam Muqhriz Mohd Izham, Aqil Danish Putra Rozaidi, Amriel Nu’man Kamarul Azman serta Muhammad Imtiyaz Syafi Ghazali masing-masing berusia 12 tahun dan Nur Alya Marissa Al Fatah, 11, antara lapan pemain yang akan mewakili negara pada kejohanan itu.

Adam Muqhriz dan Aqil Danish yang juga rakan sekelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar di sini, amat teruja apabila nama mereka tersenarai untuk berentap bersama pemain-pemain dari 13 buah negara.

Kata Aqil Danish, kejohanan itu begitu penting baginya kerana mereka berpeluang beraksi di pentas antarabangsa dan ia merupakan peluang yang sangat berharga.

 "Saya dan Adam tidak menyangka dapat ke Barcelona untuk bermain bola kerana tidak pernah terfikir pun untuk ke sana, mungkin prestasi yang kami tunjukkan dalam kejohanan sebelum ini, kami terpilih untuk menyertai kejohanan itu.

"Alhamdulillah, rasa sungguh seronok kerana bukan semua berpeluang ke sana dan kami akan bermain bersungguh-sungguh demi mengharumkan nama Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pengumuman nama dua rakan sekelas itu di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Perancangan Acara MILO Malaysia, Noor Misbah Md Nasirudin Kamal dan Guru Besar SK Iskandar, Zahir Mat.

Selain Malaysia, antara pasukan yang menyertai kejohanan itu termasuklah Indonesia, Thailand, Chile, Jamaica, Colombia, Vietnam, Sri Lanka, Trinidad dan Tobago serta pasukan-pasukan dari negara Afrika.

Seorang lagi murid, Muhammad Imtiyaz yang bermain di posisi penjaga gol dari SK Haji Ismail di Kuala Kedah berkata beliau akan menjadikan peluang bermain di Barcelona sebagai platform untuk menimba ilmu sebanyak mungkin mengenai selok-belok bola sepak.

Dalam pada itu, Mohd Izham Abd Wahab, 42, pula berharap kejohanan itu akan menjadi permulaan kepada anaknya, Adam Muqhriz bergelar pemain profesional suatu hari nanti.

Sementara itu, Noor Misbah berkata MILO komited untuk memupuk gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat menerusi kempen MILO Aktif Negaraku dengan menyatukan semua program sukan di peringkat akar umbi MILO, seperti MILO Hidup Bola, Active Jam dan Champions Clinic.

"Champions Cup merupakan kesinambungan usaha MILO untuk menginspirasi lebih ramai lagi rakyat Malaysia khususnya kanak-kanak untuk kekal aktif,” katanya yang memberitahu semua murid berkenaan akan berlepas ke Barcelona pada 28 Julai ini. - Bernama

ARTIKEL MENARIK:

Tragedi bot terjunam ke dasar tasik - 'Perginya' Cikgu Fauzi buat Cikgu Rahman rindu kenangan lalu

Guru ini kongsi 12 kelebihan masuk Tingkatan Enam, nombor tujuh pasti buat ramai tersenyum

Sejarah nama lima sekolah yang terkenal di Malaysia - Ini faktanya