SUNGAI PETANI - Kementerian Pendidikan (KPM) akan melancarkan program sarapan percuma khas untuk anak-anak di sekolah rendah di seluruh negara bermula Januari tahun depan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, melalui program berkenaan, murid akan disediakan sarapan berpandukan menu yang sihat.

“Anak-anak kita memerlukan jadual pemakanan yang tepat dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan mereka terus kekal sihat dan cergas, selain dapat membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran setiap hari.

“KPM amat mengambil berat aspek pemakanan murid dan sentiasa menggerakkan pelbagai inisiatif penting untuk memastikan perut anak-anak kita sentiasa terisi dengan makanan berkhasiat,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja meninjau kerosakan akibat ribut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbok di sini pagi tadi.

Menurutnya, KPM akan terus meneroka apa sahaja ruang bagi memastikan murid hadir ke sekolah dengan gembira.

"Program ini bertujuan memastikan murid mendapat makanan berkhasiat bagi membina generasi yang sihat.

"Perdana Menteri pun setuju dan melihat bagaimana Jepun melaksanakannya, selari dengan dua konsep utama untuk memastikan anak-anak dapat makanan berkhasiat sementara proses pembelajaran sivik berlangsung sekali gus.

"Murid akan duduk makan dengan guru, belajar adab makan yang betul, cuci tangan dan tertib. Semua ini dapat melatih disiplin mereka dengan lebih baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPM masih menunggu laporan penuh kes kematian seorang pelajar yang dipercayai tertekan kerana gagal menyiapkan kerja sekolah sebelum sebarang tindakan diambil.

Menurutnya, masih terlalu awal untuk mengambil sebarang tindakan mahupun memperkenalkan modul khas bagi menangani isu tersebut.

"Kita tunggu siasatan polis dan kita tunggu di peringkat kementerian sendiri akan menyediakan laporan," katanya.

Maszlee berkata, beliau sedih dengan kejadian menimpa pelajar Tingkatan Satu itu kerana institusi sekolah sepatutnya menjadi tempat gembira untuk pelajar belajar dan guru mengajar.

"Tetapi apabila sampai tahap dapat tekanan itu tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Dalam kejadian pada malam Sabtu lalu, pelajar 13 tahun itu ditemukan bapanya dalam keadaan tergantung di bilik air rumah mereka di Georgetown, Pulau Pinang selepas mengadu tidak dapat menyiapkan kerja sekolah yang diberikan.

Dalam pada itu, Maszlee turut membidas kenyataan Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) yang menyekat anak-anak ke sekolah sebagai tanda proses terhadap pelajaran jawi di sekolah jenis kebangsaan.

"Sekolah ialah tempat paling selamat untuk anak-anak. Sepatutnya masyarakat dan NGO menggalakkan anak ke sekolah untuk menimba ilmu, berkawan, belajar sikap hormat-menghormati dan mendengar tunjuk ajar guru," katanya.

INFO

Program Sarapan Percuma (PSP)               

- Hanya melibatkan murid sekolah rendah seramai 2.7 juta orang dan tidak termasuk murid prasekolah. Semua murid pra sekolah telah menerima bantuan makanan prasekolah.

- Makanan akan disediakan oleh kantin sekolah.

- Peruntukan bagi membiayai PSP  masih dalam peringkat perbincangan oleh pengurusan tertinggi KPM.

- Satu Jawatankuasa Khas akan membincangkan jumlah peruntukan yang diperlukan untuk PSP.

- Program PSP bertujuan memberikan makanan tambahan yang memenuhi keperluan nutrisi penting bagi pertumbuhan fizikal dan kognitif murid di peringkat sekolah rendah.

- Program ini akan fokus kepada nutrition security iaitu penekanan kepada nilai nutrisi yang penting ('essential') bagi semua murid di sekolah rendah.

- PSP juga memberikan tumpuan kepada perkembangan dan pembangunan kognitif bagi menangani isu terbantut.

- Jenis makanan masih dalam peringkat perbincangan dengan bahagian berkaitan Kementerian Kesihatan dan pakar pemakanan dari universiti tempatan

- KPM akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, universiti tempatan dan agensi lain bagi memastikan kualiti makanan terjamin.

- Hasil kutipan cukai minuman bergula (CMB) akan digunakan sepenuhnya untuk membiayai pelaksanaan PSP. Ia bagi memastikan generasi akan datang mengamalkan gaya hidup sihat dan mengurangkan kadar penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan rakyat.