SUNGAI PETANI - Seorang pelajar aktif dalam akademik dan sukan hilang penglihatan mata kanan ketika sedang belajar di dalam kelas sebulan lalu.

Masalah penglihatan Siti Hajar Zaidi, 15, dikesan apabila dia mengalami pening dan mata kabur sebelum pandangan gelap lalu mengadu kepada gurunya.

Kejadian itu menyebabkan calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang juga pelajar harapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Amanjaya  selain aktif bersukan itu  menganggap masa depannya turut gelap.

Ibunya, Zunaidah Saad, 46, berkata, anak ketiga dari lima beradik itu dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim, Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Kuala Lumpur selain ditahan wad selama 18 hari bagi mendapatkan pengawasan doktor.

“Sehingga kini, pihak hospital tak dapat kesan penyakit yang dialami. Sebelum ini kami diberitahu saraf belakang matanya bengkak dan seolah-olah pecah pembuluh darah,” katanya.

Pekerjaan Zunaidah sebagai pembantu gerai yang menerima upah RM25-RM30 sehari turut terganggu kerana bercuti bagi menguruskan Siti Hajar.

Menurut Zunaidah, Siti Hajar kini bertarung dengan kesakitannya namun enggan mengabaikan pelajaran dan tetap menduduki ujian baru-baru ini.

“Kadang-kadang dia tak boleh tidur kerana sakit kepala yang teruk,” katanya.

Zunaidah yang merupakan seorang ibu tunggal merupakan penerima bantuan zakat berjumlah RM200 sebulan.

Keluarga itu bersyukur menerima kunjungan ahli kelab motosikal berkuasa tinggi warga pendidik negeri Kedah (DG Bikers) bersama guru sekolah yang melakukan Ziarah Cakna di rumah mereka di Taman Seri Bayu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman, Pengetua SMK Amanjaya, Zainurin Mat Noor dan Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Abdul Rahim Mat yang menyerahkan sumbangan RM1,700 hasil kutipan bersama.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank bernombor 102054 653 497 atas nama Zunaidah Saad.