Jika ada pihak sekolah sedang mencari modul untuk meningkatkan kemahiran  pengawas pusat sumber sekolah (PSS), modul yang dibina untuk program 'PSS Ambassador' boleh dijadikan panduan.

'PSS Ambassador' dianjurkan Unit Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada Januari lalu untuk meningkatkan kemahiran dan kepimpinan PSS.

Program itu membabitkan empat lagi sekolah perempuan di Kota Setar, iaitu  SMK Sultanah Asma, SMK Convent, SMK Tunku Sofiah dan SMK Tun Sharifah Rodziah.

Seramai 140 pelajar berkampung selama sehari di dewan SMK Sultanah Asma dengan dibimbing individu hebat iaitu Jurulatih Kokurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM), Rosnida Romli, Guru Perpustakaan dan Media Cemerlang Dr Zuridah Hanim Md Akhir serta Mohd Noor Azlan Idris.

Menurut Dr Zuridah Hanim, PSS Ambassador turut bertujuan meningkatkan pengetahuan peserta berkaitan dengan modul program jati diri dan kemahiran pengurusan PSS.

"Dalam program ini, kami memupuk nilai kreatif dan keterampilan pengawas PSS.

"Modul yang dibuat turut bertujuan membina kepercayaan, keyakinan diri dan menyemarakkan rasa komitmen yang tinggi dalam meningkatkan mutu perkhidmatan PSS di sekolah masing-masing," katanya.

Pelajar sedang melakukan aktiviti di stesen.

Dalam program PSS Ambassador pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mereka perlu menyelesaikan tugasan di lima stesen.

Antara tugasan yang perlu dibuat ialah mengedalikan tugasan di kaunter, menyusun buku mengikut sistem perpuluhan dewey dan bagaimana mengendalikan manusia.

"Ketika tugasan bagaimana mengendalikan manusia, pengawas PSS perlu melakonkan watak yang diberikan.

"Peserta juga diberi tugasan bagaimana cara untuk menarik pengunjung datang ke PSS dengan menggunakan pelbagai bahan yang diberikan sebagai alat promosi," kata Dr Zuridah.

Sambung beliau lagi, peserta juga dikehendaki menarik murid agar meminjam buku untuk Nilam.

Selain itu, antara acara menarik lain adalah bermain telefon karat, menara rakit dan memasukkan 12 orang dalam satu kertas bersaiz A4.

Reaksi

"Saya bertuah kerana dapat ikuti PSS Ambassador, saya dapat banyak maklumat daripada penceramah hebat dan faham bagaimana untuk menjadi pengawas PSS cemerlang." - Nur Aisyah Ayuni Zakaria, Tingkatan Lima, SMK Sultanah Bahiyah

"Melalui kursus ini saya dapat meningkatkan kemahiran kerja berpasukan dan diajar bagaimana untuk berkomunikasi dengan pelanggan dengan lebih baik." - Sabrina Syaril Azri, Tingkatan Empat, SMK Sultanah Bahiyah

Pelajar Tingkatan Lima, SMK Sultanah Bahiyah Nur Adila Ashiqin Azri memberi penerangan cara melayan tetamu di PSS.

Peserta berkongsi cerita 'Hebatnya PSS Sekolah Saya.'

Peserta melakukan pembinaan kerja berpasukan melalui permainan 'Semua untuk Satu, Satu untuk Semua.'

Fasilitator dari SMK Sultanah Bahiyah berkongsi cara pinjam buku dan buat NILAM.

Pelajar sedang melakukan aktiviti di stesen.

Sesi pembinaan pengawas PSS kelas pertama, seramai 12 pelajar diuji masuk dalam sehelai kertas A4 dan kemudian perlu menaiki tangga.

Guru Perpustakaan Media Cemerlang, Mohd Noor Azlan Idris (tengah) dan Dr Zuridah Hanim (tiga dari kanan) bersama fasilitator SMK Sultanah Bahiyah.

Peserta membuat aku janji untuk menjadi pengawas PSS kelas pertama.