LANGKAWI - Sebaik sahaja melangkah masuk ke perkarangan kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Nam, Kuala Teriang di sini tumpuan pasti terarah ke lukisan mural yang menghiasi dinding sebuah blok bangunan sekolah rendah tersebut.

Mural hasil tangan Faddil Nawawi, 55, atau lebih mesra dengan panggilan 'Along' di kalangan penduduk Langkawi mungkin kelihatan biasa pada pandangan umum, namun lukisan tersebut sebenarnya menceritakan keunikan serta perpaduan di SJKC Min Nam.

Apa tidaknya sungguhpun ianya sekolah Cina namun majoriti muridnya terdiri daripada bangsa Melayu seperti yang dijelaskan oleh Penolong Kanan Kokurikulum sekolah itu, Tan Sau Loo bahawa  daripada 67 orang pelajar  tahun satu hingga enam, terdapat 44 murid Melayu, 17 Cina dan bakinya enam pelajar berketurunan Rusia, Ireland, Punjabi, Belanda dan Eurasian.

"Pelajar di sini tidak ada masalah untuk bergaul, mereka laksanakan semua aktiviti bersama perpaduan memang sangat utuh di sini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata  rata-rata murid Melayu sekolah ini  memiliki kemahiran asas bertutur dalam bahasa Cina dengan baik.

Bagi Along Faddil apabila ditawarkan untuk melukis mural dengan motif perpaduan di sekolah tersebut, dia tidak menunggu lama untuk menerima pelawaan itu biarpun sudah beberapa tahun tidak aktif berkarya selepas mengalami kemalangan pada tahun 2010.

"Apabila ditawarkan serta diberi kepercayaan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC Min Nam untuk melukis mural, saya tidak tunggu lama untuk memberi persetujuan. Saya hantar tiga lakaran sebagai idea awal sebelum satu daripadanya dipilih untuk menghiasi dinding di sekolah ini.

"Menerusi mural tersebut, saya tampilkan tiga murid perempuan mewakili bangsa berbeza melambangkan kepelbagaian serta perpaduan di sekolah ini. Mural ini juga dihiasi dengan lakaran seperti keindahan alam semulajadi seperti taman laut yang terdapat di pulau ini," katanya.

Berjaya menyiapkan mural tersebut dalam tempoh masa 10 hari September lalu, Along Faddil berpuashati rancangannya bersama PIBG sekolah tersebut berjaya malahan terharu apabila hasil karyanya itu mendapat penghargaan masyarakat setempat.

"Saya terima maklum balas positif sebaik mural ini disiapkan, paling penting mesej perpaduan yang diterapkan berjaya disampaikan, biarpun ini merupakan sebuah Cina namun perpaduan tetap utuh dan menjadi pilihan masyarakat Melayu sekitar untuk menghantar anak mereka menerima didikan di sini," katanya. - Bernama

Artikel Menarik:

Tujuh tugas yang perlu digalas oleh cikgu bila dilantik sebagai Ketua Panitia

Semakan keputusan UPSR dan PASR, 21 November ini

'Persiapkan emosi anak yang bakal ke Tahun Satu' - Cikgu ini bagi ayat pujuk 'baik punya'