Surau bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadah, tetapi ia sebagai salah satu tempat muafakat dalam meningkatkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) guru kepada pelajar

Guru Besar SK Taman Bersatu (SKTB), Kedah,  Ramlee Abu Bakar berkata, surau merupakan tempat praktikal dalam mengurus kehidupan pelajar pada masa hadapan, selain berperanan menjadi pusat melahirkan murid-murid yang berdaya saing dan berkepimpinan.

Menurutnya, mendidik sahsiah anak murid bukan sekadar di surau tetapi perlu menyeluruh sehingga sekolah mampu mencapai pelbagai kejayaan.

“Surau At-Tholibin SKTB misalnya, kesepakatan semua guru dan kakitangan terlibat, surau kami pernah menerima penarafan surau lima bintang.

“Selain menganjurkan pelbagai karnival, forum perdana, majlis khatan dan lain-lain pencapaian, surau kami juga pernah menerima lawatan penanda aras dari Sekolah Agama sekitar Thailand,”katanya.

Tambah beliau, pelbagai aktiviti telah dijalankan dan hasilnya sekolah  berjaya melahirkan murid yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga akhlak dan sahsiah diri.

Mei tahun lalu, SKTB pernah menjadi tuan rumah Program Imarah Surau  sekolah-sekolah di Satun.

Program yang dinaungi  Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri, Marzuki Daud dan Mokhtar Ahmad dari Pejabat Pendidikan Daerah Kota Setar itu turut menyerahkan sumbangan berupa kain pelikat, telekung, al-Quran dan sejadah.

“Kami sentiasa memikirkan cara yang terbaik untuk menghidupkan surau At-Tholibin dengan pelbagai aktiviti keagamaan menarik dan  berkesan.

“Selain melaksanakan pengurusan surau dengan efisyen dan sistematik. Kami turut berusaha memupuk minat dan tabiat murid supaya rajin berada di surau dan memanfaatkan masa  dengan sebaik-baiknya,”jelasnya.

Katanya, usaha ini secara tidak langsung dapat mewujudkan surau Mithali yang menekankan kepada budaya ilmu dan pembinaan insan.

Mengulas tentang perancangan masa depan, beliau berkata, amalan bersedekah melalui sumbangan waris dan pelajar serta  masyarakat sedikit sebanyak membantu usaha untuk menceriakan surau.

“Hampir RM25,00.00  terkumpul  melalui sumbangan NGO, waris dan masyarakat.

“Cadangan pada tahun hadapan, akan mewujudkan Food  Bank dan alat tulis serta buku untuk murid miskin,”katanya.

Tambahnya lagi, surau At-Tholibin turut menyediakan laluan mesra OKU, tapak sembelihan dan liang lahad.

Ia bertujuan untuk murid melihat dan merasai sendiri suasana di dalam liang lahad. Inilah kelainan yang ingin dibawa untuk semua murid di SKTB.

Info ! Surau At-Tholibin ditubuhkan tahun sama sekolah dibuka iaitu pada tahun 2003 dan mula beroperasi pada tahun 2004.