LANGKAWI - Program perkhemahan babitkan dua negara ini benar-benar memberi pengalaman baharu kepada pelajar khususnya kontinjen dari Indonesia.

Pengarah program, Ammar Qanwa Mokhtar berkata, Perkhemahan Muhibah dan Pendidikan Geopark Peringkat Antarabangsa Sekolah-sekolah Kementerian  Pendidikan 2018 ini dibuat di Tapak Perkhemahan Sekolah Kebangsaan (SK) Kelibang, Langkawi.

Ammar Qanwa

"Sebanyak enam Unit beruniform dari sekolah di Malaysia dan Indonesia mengikuti program ii yang dianjurkan  Unit Kokurikulum SK Kelibang Langkawi dan Langkawi Unesco Global Geopark.

"Program ini disertai ahli Pengakap, Tunas Kadet Remaja Sekolah, Kadet Remaja Sekolah, Bulan Sabit Merah, Pandu Puteri dan Puteri Islam," katanya.

Kata beliau, program bertujuan merapatkan hubungan silaturahim antara pelajar dari pelbagai negeri dan negara dalam satu program yang berimpak tinggi.

Kontinjen Indonesia.

"Peserta juga berpeluang berkongsi kebudayaan masing-masing dan mendedahkan mereka dengan keunikan Langkawi Unesco Global Geopark melalui Pendidikan Geopark," katanya.  

Seramai 350 peserta terdiri murid tahun 4 hingga 6 dan pelajar tingkatan 1 hingga 5 yang menyertai program pertama kali diadakan ini dengan dirasmikan Setiausaha Politik Menteri Pendidikan, Mohd Nizam Morad,

Pelbagai aktiviti menarik dijalankan antaranya aktiviti Sektor Pengetahuan dan Kemahiran yang merangkumi Ikatan, Semaphore, Tripod, First Aid dan Radio Amatur.

Seterusnya, Sektor Kraftangan dan Kreativiti seperti straw, lidi, buluh, origami dan botol plastik.

Tiga lagi aktiviti lain adalah Sektor Permainan Rakyat (terompah gergasi, lastik, tuju tin, boling kelapa dan zero point), Sektor Aktiviti Lasak (rentas halangan dan flying Fox) dan Sektor Pameran.

Sementara itu, Ammar Qanwa berharap, program sebegini akan diadakan lebih kerap kerana tidak banyak program yang berimpak tinggi seumpama itu dianjurkan.

"Inilah program pertama yang melibatkan Langkawi Geopark yang disertai pelajar dari pelbagai negeri dan penyertaan negara luar," ujarnya.

Peserta turut melakukan aktiviti lasak flying fox.

Peserta Indonesia bersama hadiah kemenangan pertandingan kebudayaan.

 Antara peserta pertandingan kebudayaan.

Mohd Nizam menerima cenderamata daripada kontinjen Indonesia.

 

APA KATA MEREKA

1) "Program yang amat bermanfaat dalam merapatkan jurang hubungan pelajar antara bandar dan luar bandar serta merapatkan hubungan silaturahim antara pelajar pelbagai kaum melalui aktiviti bersama."

- Ganesan S Sittrambaram

Guru Penolong Kanan Kokurikulum

SK La Salle 1 Brickfields, Kuala Lumpur

 

2) "Terima kasih atas undangan dan penerimaan rombongan dari SDI Al Azhar 8 Kembangan Jakarta Barat Indonesia. Murid sangat gembira kerana berpeluang timba pengalaman dan peroleh ramai sahabat baru.

- Drs H Rusnadi M Pd

Kepala SDI Al Azhar 8 Kembangan Jakarta Barat Indonesia

 

3) "Melalui program ini, saya dan rakan dapat melakukan aktiviti bersama seperti belajar kraftangan, semaphore dan sebagainya. Seronok sangat.  

- Yathiran A/l Arumugan

Tahun 5

SK La Salle 1 Brickfields, Kuala Lumpur

 

4) "Saya gembira mengikuti perkhemahan ini kerana saya memang minat aktiviti perkhemahan dan aktiviti lasak. Aktiviti yang paling saya suka ialah flying fox dan merentas halangan.

- Sofea Rosyada Ammar Qanwa

Tahun 4

SK Kelibang, Langkawi

 

5) "Saya gembira dapat mewakili Indonesia menyertai program di Malaysia. Saya belajar banyak perkara baru selama seminggu di sini."

- Nawwaf Rairuz Rizki

SDI Al Azhar Jakarta, Indonesia

 

6) "Sangat gembira kerana dapat ramai kawan dan melakukan aktiviti bersama-sama. Jika ada peluang lagi, saya akan kembali ke Malaysia dan menyertai program seperti ini lagi."

- Asyhila Ramadhani Putri

SDI Al Azhar Jakarta, Indonesia