SUNGAI PETANI - Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bedong di sini teruja menjadi tetamu jemputan Sambutan Hari Polis ke-212 peringkat Daerah Kuala Muda sekali gus menjadi penerima surat penghargaan termuda, semalam.

Muhammad Ihsan Muhd Rahim, 14, gembira apabila namanya dipanggil juruacara bagi menerima surat penghargaan kategori orang awam bersama 10 penerima lain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Menurutnya, dia tidak menyangka tindakan yang dilakukan dengan memberi maklumat kepada pihak berkuasa berhubung kegiatan jenayah, dihargai dalam majlis sedemikian.

“Saya pernah beri maklumat dan membantu pihak polis menumpaskan kegiatan jenayah di sini tetapi tak sangka akan dijemput naik ke pentas,” katanya.

Menurut Muhammad Ihsan, ini merupakan kali pertama diraikan pihak berkuasa dan berharap agar generasi muda yang lain turut melakukan perkara sama sekiranya berdepan situasi jenayah.

“Saya harap semua orang boleh buat benda sama kerana boleh dikatakan setiap orang ada telefon jadi gunakan ke arah yang baik sebab bukan sahaja boleh tolong polis tangkap orang jahat tetapi kawasan persekitaran juga bebas jenayah,” katanya.

Beliau menerima surat penghargaan diserahkan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah.

Dalam majlis sama, seramai 44 anggota pelbagai pangkat turut menerima surat penghargaan yang disampaikan Adzli.