PENDANG - Seorang remaja berusia 13 tahun dari Mukim Padang Pusing, di sini mempamerkan kreativiti dan bakat yang luar biasa apabila mampu menghasilkan replika kecil pelbagai jenis kenderaan dan jentera berat dengan menggunakan kotak kasut.

Muhammad Adam Shakirin Mohd Fuad, pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Maahad Tahfiz Al-Abidin, di sini bukan hanya mampu menggubah kertas keras menjadi motosikal dan lori, tetapi juga jentera berat seperti treler, 'backhoe loader' dan trektor.

Menceritakan mengenai minatnya itu, Muhammad Adam Shakirin berkata segala-galanya bermula selepas dia berasa terpegun melihat ‘kesegakkan’ jentera mesin padi buat kali pertama beberapa tahun dahulu.

"Kali pertama saya lihat jentera mesin padi di sawah, saya terus jatuh hati dan dari situ datangnya minat untuk membina sebuah replikanya, jadi saya terus balik rumah dan cari kotak sebelum membinanya tanpa bantuan sesiapa.

"Sebelum membuat sesuatu replika, saya akan melihat reka bentuk jentera itu dengan teliti terutama di bahagian yang kecil dan susah dilihat seperti bahagian luar enjin. Kadang-kadang saya minta ibu dan ayah cari gambar yang lebih jelas di laman web,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Muhammad Adam Shakirin yang bercita-cita menjadi jurutera berkata, kotak kasut dijadikan bahan utama untuk membina replika itu kerana ia mudah dipotong dan dibentuk, selain mudah dilekat menggunakan pelekat dan diwarnakan.

Beliau turut menggunakan bahan buang dan terpakai seperti batang lidi, batang aiskrim, butang baju, dawai, dan plastik bagi menambahkan kekemasan pada binaannya.

Minat dan kreativitinya bukan sekadar terhadap kenderaan berat, malah dia turut mengikuti ‘trend’ anak muda zaman sekarang yang meminati motosikal seperti Yamaha RX-Z, Honda C70 dan Yamaha 150 atau ‘Y-Suku’.

Menurut Muhammad Adam Shakirin, dia tidak pernah belajar mengenai cara membuat ukuran atau membina semua replika tersebut, sebaliknya hanya bergantung kepada imaginasi dan kreativitinya.

Katanya, dia hanya mengambil masa sehari untuk menyiapkan replika motosikal dan tiga hari untuk menghasilkan replika jentera berat seperti mesin padi.

Sementara itu, ibunya Norin Puteh, 37, berkata minat Muhammad Adam Shakirin itu dikesan pada usia empat tahun apabila dia sering meminta dibelikan mainan jentera berat seperti jentera mesin berantai seperti mesin padi, trektor atau lori.

"Kemudian apabila dia mencipta replika mesin padi saya dan suami tidak percaya bahawa ia merupakan hasil ciptaan Adam sendiri, mana tidaknya, kreativiti tidak sama dengan usianya ketika itu,” katanya.

Menurut Norin, anaknya juga pernah membawa replika jentera mesin padi dan lori untuk menghiasi kelasnya di sekolah sempena sambutan hari kemerdekaan pada tahun lepas dan guru kelasnya juga tidak percaya yang replika itu dihasilkan sendiri oleh Muhammad Adam Shakirin.

"Sehinggalah pada penghujung tahun persekolahan guru meminta Adam membawa bahan-bahan untuk mereka bentuk replika ke sekolah dan dia membina di hadapan mereka dan barulah gurunya akui yang Adam seorang yang berbakat,” katanya.

Norin berkata, setakat ini anaknya itu telah membina lebih kurang 30 replika pelbagai jenis kenderaan jentera berat selain sebuah replika bengkel motosikal.

"Saya dan suami juga menyediakan sebuah almari khas untuk Adam bagi menyimpan barang-barang replika tersebut sebagai tanda sokongan dan dorongan kami kepadanya,” katanya. - Bernama

ARTIKEL MENARIK:

“Kenapa tak nak pergi sekolah?”- Guru prihatin, pujuk murid nangis terus sauk bawa ke kelas

Suara macam artis, memang padu cikgu Muzik ni nyanyi lagu ‘Sumpah’ dalam kelas

Majlis kahwin Cikgu Samuel ‘gempak’, tak sangka 100 murid orang asli sanggup datang buat kejutan

'Dulu dia budak kelas belakang tapi sekarang anggota polis' - Perkongsian guru ini buat ramai sebak