CHANGLUN - Penyertaan kali pertama pertandingan video kreatif Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) - GPS Bestari 2018 memberikan pengalaman berharga kepada Unit Kemara TV SK Dato Wan Kemara.

Pasukan itu terpilih memenangi saguhati bagi kategori sekolah rendah dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500, sijil penyertaan dan buku keluaran Kumpulan Media Karangkraf.

Guru Besar SK Dato Wan Kemara, Mohd Nizam Saidin berkata, kejayaan tersebut merupakan pencapaian yang memberangsangkan kerana terpilih daripada lebih 1,000 penyertaan dari seluruh negara pada tahun lalu.

Menurutnya, Unit Kemara TV diwujudkan lebih setahun yang lalu dan menjadi tempat untuk murid-murid diasah bakat mereka dalam mendekati dunia wartawan dan penyiaran malah kejayaan tersebut adalah satu pencapaian bermakna dan memberangsangkan.

“Pasukan ini dinamakan Briged Bestari yang fokus dan terlibat dengan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) seperti komputer dan sebagainya. Di dalam pasukan ini, kita turut membahagikan mereka kepada beberapa bahagian seperti bahagian komputer dan bahagian video.

“Mereka ini kami dedahkan sejak Tahun Dua dan mereka ada masa yang panjang untuk mengetahui tentang hal-hal ICT ini. Kami berharap apabila sampai Tahun Enam, mereka sudah tahu dan bersedia dengan hal-hal ICT ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Nizam berkata, walaupun sekolah tersebut memberi perhatian kepada setiap aktiviti ko-kurikulum untuk meningkatkan kemahiran muridnya namun kepentingan akademik tetap seiring.

Ahmad Afzal (kiri) mewakili IWK menyampaikan hadiah kepada Mohd Nizam pada  perhimpunan pagi di dataran perhimpunan SK Dato Wan Kemara, semalam.

 

Tambahnya, selain dibantu oleh beberapa guru yang mahir dalam mengedit video, pihak sekolah turut menjemput pakar dari luar seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk berkongsi kemahiran bersama Unit Kemara TV.

“Kepakaran murid-murid yang berada di dalam unit ini memang pada asas sahaja dan kita cuba tingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Perkhidmatan Perniagaan IWK, Ahmad Afzal Abdullah Mubarak berkata, platform pertandingan tersebut berjaya meningkatkan kesedaran dan pengetahuan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah mengenai syarikat tersebut yang merupakan syarikat pembetungan nasional yang moden dan efisien.

Menurutnya, selain aktif di sisipan akhbar Sinar Harian dan portal GPS Bestari, IWK juga aktif di media sosial seperti Facebook, Youtube, Instagram dan Twitter.

“Sejak tahun 2016, penglibatan pelajar, guru dan sekolah memberikan maklumbalas yang baik pada setiap tahun,” katanya.

Murid SK Dato Wan Kemara yang berjaya dalam aktiviti ko-kurikulum pada 2018 dan awal 2019 bergambar kenangan bersama semua guru selepas selesai majlis penyampaian hadiah, semalam.