Bermula dengan hasrat ingin memartabatkan seni persilatan Melayu sebagai warisan bangsa siapa sangka Persatuan Seni Silat Harimau Bentara Garang Sekolah Menengah Kebangsaan  Agama (SMKA) Kedah, Alor Setar, Kedah ini berjaya membawa nama sekolah ke peringkat kebangsaan dan kini memburu pingat peringkat dunia.
 
Guru penasihatnya, Ismail Salleh berkata, persatuan itu ditubuhkan pada 2008 di bawah badan beruniform sekolah.
 
"Persatuan ini merupakan aktiviti seni mempertahankan diri dan kokurikulum yang dijalankan diluar bilik darjah di bawah bimbingan Ketua Jurulatih, Anas Fikri Mohd Zahir dan 
guru penasihat  persatuan iaitu Ustaz Mohd Ammar Abdul Rahman; Ustazah Ummu Aiman Ibrahim serta Ustaz Mohd Nor Ramli.
 
Pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Aiman Naufal mempamerkan aksi silat olahraga ketika Kejohanan Silat Terbuka Kedah 2019.
 
Jumlah ahli Persatuan Seni Silat Harimau Bentara Garang SMKA Kedah pada tahun ini seramai 80 orang dengan 40 daripadanya pelajar perempuan. 

Cikgu Ismail yang juga Guru Cemerlang Tahfiz berkata, penubuhan persatuan seni silat itu juga bertujuan memberi peluang kepada setiap murid untuk mengembangkan potensi secara seimbang dan menyeluruh dalam  aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.  

"Kami mahu pelajar yang menyertai persatuan ini lebih terpimpin dalam menimba ilmu berkaitan dan dapat memupuk semangat bertanggungjawab serta disiplin.
 
"Kami juga mahu mempersiapkan pelajar tentang seni mempertahankan diri yang berasal dari bangsa melayu ini," katanya.
 
Ini terbukti apabila ahli persatuan akan seberapa daya berusaha untuk mencapai tahap yang paling tinggi dalam aktiviti diceburi terutamanya ketika ujian kecekapan dan  pertandingan.
 
Bagi melancarkan operasi dan aktiviti persatuan dana dikumpul daripada yuran keahlian, kokurikulum sekolah dan sumbangan pihak luar.
 
 
Cikgu Ismail (belakang, dua dari kiri); Anas Fikri (tengah) dan Ustaz Mohd Ammar (dua dari kanan) bersama ahli pasukan Seni Silat Harimau Bentara Garang.
 
Beliau memberitahu, dana yang diperoleh diperuntukan untuk kegunaan persatuan seperti membeli peralatan silat, membayar yuran penyertaan pertandingan dan menjalankan aktiviti  persatuan. 

"Biasanya latihan dijalankan sekali seminggu, iaitu pada hari Rabu jam 5 hingga 6.30 petang. 

"Walaupun jadual amat padat dengan akademik, tahfiz dan kokurikulum namun pelajar bijak membahagikan masa," katanya.
 
Tambah beliau lagi, perkara yang paling ditekankan ketika latihan adalah bagaimana mengelakkan diri daripada menghadapi kecederaan yang besar. 
 
"Walaupun adakalanya pelajar mengalami kecederaan ketika pertandingan tetapi mereka telah dilatih oleh jurulatih bertauliah bagaimana untuk mengelakkan kecederaan besar,"  katanya.
 
Sasar pentas dunia
 
Cikgu Ismail berpendapat, seni mempertahankan diri perlu dipelajari kerana mampu menyihatkan badan kerana pergerakan tertentu ketika berlatih memberi kebaikan seperti melakukan  senaman.
 
"Mengikut kajian saintifik, dipercayai bahawa apabila badan kita mengeluarkan peluh, toksik dari badan turut akan dikeluarkan mengikut air peluh. 
 
"Sekiranya toksik ini dikeluarkan, maka kita akan berasa lebih sihat dan bertenaga untuk menjalankan aktiviti seharian," katanya.
 
Jelas beliau, badan akan cergas disebabkan otot badan semakin kuat melalui latihan seni pertahanan diri.
 
Tambahan pula, kata beliau, dengan mempelajari seni persilatan kita mampu mempertahankan diri apabila keselamatan tergugat khususnya kepada golongan wanita. 
 
 
Pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Akmal (kiri) dan Muhamad Fatih Fazari (kanan) ketika meraikan kejayaan setelah berjaya bergelar juara Silat Pulut MSSD Kota Setar 2019.
 
Setelah mencapai kejayaan dalam pelbagai pertandingan di peringkat negeri mahupun kebangsaan, tahun ini Persatuan Seni Silat Harimau Bentara Garang SMKA Kedah menyasarkan  pingat pada pertandingan di peringkat antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Singapura pada April nanti. 

"Hasrat ke peringkat dunia hanya akan tercapai sekiranya kami berjaya bergelar juara pada Kejuaraan Silat Remaja Kebangsaan yang akan berlangsung di Bukit Jalil yang akan  berlangsung 14 Mac ini," katanya.  

Sementara itu, Pengetua Cemerlang, SMKA Kedah, Mahir Mohamad berkata, beliau amat berbangga dengan komitmen ahli persatuan yang bersungguh-sungguh dalam latihan seterusnya  mencapai kejayaan dalam pertandingan.
 
"Kejayaan yang dicapai Seni Silat Harimau Bentara Garang SMKA Kedah menunjukkan pelajar tahfiz mampu bersaing dengan pelajar aliran perdana untuk melahirkan huffaz mutadayyin  profesional," katanya. 

Reaksi 

"Latihan yang kerap dan sering memberikan sepenuh tumpuan ketika latihan merupakan salah satu faktor kejayaan dalam beberapa pertandingan di peringkat daerah, negeri dan  kebangsaan." - Muhamad Fatih Fazari Mohd Firdaus, Pengerusi, Persatuan Seni Silat Harimau Bentara Garang
 
 
"Saya bijak membahagi masa dan mencari ruang untuk berlatih bersama rakan supaya dapat meningkatkan prestasi dan kemahiran untuk menghasilkan kejayaan yang cemerlang." -  Muhammad Akmal Zakaria, Ketua Gelanggang
 
 
"Latihan yang mencukupi dan ilmu mempetahankan diri yang diberikan oleh jurulatih membuatkan kami lebih mahir dan cekap serta membuatkan kami lebih bersedia ketika diancam musuh walau apa jua keadaan yang datang." - Muhammad Nabil Amin Nasaruddin, Penolong Ketua Gelanggang
 
 
"Ketegasan dan disiplin merupakan kunci utama pembentukan sahsiah diri seorang pesilat. Penekanan terhadap aspek kualiti persembahan kami menunjukkan kepentingan memelihara  adat istiadat Melayu." - Muhammad Aiman Naufal Mohd Hazam, Bendahara Persatuan Seni Silat Harimau Bentara Garang 

Info 

Pencapaian 
 
1. Tercatat dalam Malaysia Book of Record pada Himpunan Seni Pertahanan Diri peringkat kebangsaan 2019.  
 
2. Juara Kejohanan Silat Seni peringkat negeri Kedah 2019. 
 
3. Juara Kejohanan Silat Olahraga peringkat negeri Kedah 2019. 
 
4. Juara Kejohanan Silat Olahraga Pemilihan SUKMA peringkat negeri Kedah 2018. 
 
5. Juara Silat Pulut Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Kota Setar 2018.
 
6. Naib Juara Kejuaraan Silat Olahraga Remaja peringkat kebangsaan 2017.
 
 
Ahli pasukan Seni Silat Harimau Bentara Garang ketika Ujian Tali Pinggang Cindai Putih di SMKA Kedah.