BUKIT KAYU HITAM - Peluang buat duit untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Belajar secara percuma hingga peringkat diploma, dapat elaun RM200 hingga RM300 setiap bulan, tak perlu bayar yuran pengajian, penginapan dan makan minum disediakan percuma.

Kolej Pertanian Malaysia (KPM) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menawarkan peluang melanjutkan pelajaran secara percuma melalui Program Latihan Kemahiran Pertanian Kebangsaan (PLKPK)  bagi Sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia.

Muhammad Shukri menunjukkan sijil Malaysia Book Of Records (MBOR) yang diperoleh KPM selepas berjaya menanam 4,000 anak pokok Mangga Harumanis secara serentak di KPM pada tahun 2017.

Pengurus Pusat Bertauliah dan Timbalan Pendaftar KPM, Muhammad Shukri Mat Noor berkata, pihak kolej tidak mengenakan sebarang bayaran bagi kelengkapan latihan, yuran pengajian dan yuran penginapan.

Katanya, pelatih juga diberi  elaun bulanan antara RM200  hingga RM300 sebulan selain makan dan minum secara percuma sepanjang mereka mengikuti pengajian di situ.

“Ketika pelatih mendaftar di sini, mereka hanya perlu menyediakan bayaran pendaftaran kira-kira RM330 sahaja yang merangkumi insurans, deposit asrama, buka akaun Agrobank dan baju korporat,” katanya, kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebagai kolej terbesar di bawah MOA, KPM menawarkan lima bidang pengajian menarik seiring keperluan industri.

Syaiedatul Aqilah Sazleen Fadillah, 21, tidak kekok mengurus haiwan ternakan kerana minat yang mendalam dalam bidang penternakan.

Katanya, antara bidang pengajian ialah Tanaman, Ternakan Ruminan, Akuakultur Air Tawar, Pemprosesan Makanan dan Pemasaran Pertanian.

“Setiap kali pendaftaran pelatih baharu, bidang Tanaman, Ternakan Ruminan dan Pemprosesan Makanan mendapat permintaan tinggi.

“Bagi bidang Ternakan Ruminan walaupun ia sinonim dengan pelatih lelaki tetapi kita tetap menerima kemasukan pelatih perempuan.

“Kesemua latihan berasaskan kompetensi kemahiran yang memfokuskan latihan amali, projek dan simulasi yang turut dikawal selia oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK),” katanya.

Muhammad Shukri berkata, tempoh pengajian bagi program sijil adalah antara satu tahun setengah hingga dua tahun bergantung kepada bidang yang dipilih.

“Bagi program diploma adalah selama setahun tiga bulan dan tawaran untuk bidang diploma ini hanya terdapat di KPM dan Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sitiawan, Perak sahaja,” katanya.

Dua pelatih Diploma Ternakan Ruminan menjalankan rutin latihan mereka di Kompleks Ruminan.

Tambahnya, kelayakan mendaftar di KPM bagi program sijil ialah warganegara Malaysia dan berumur antara 18 hingga 25 tahun.

“Pemohon perlu sihat tubuh badan dan lulus SPM atau setaraf.

“Bagi mereka yang layak, permohonan secara atas talian akan dibuka mulai Oktober ini bagi kemasukan Januari 2020.

“Pemohon hanya perlu melayari www.moa.gov.my/blkp untuk memohon atau hubungi Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian di talian 03 8870 1702/ 1677/ 1692/1802,” katanya

Muhammad Shukri (kiri) melihat pelatih Tahap 3 Program Pemprosesan Makanan menyediakan kek ketika kelas mereka berlangsung.

Info

1. Elaun RM200-RM300 setiap bulan

2. Percuma: Yuran pengajian, penginapan, makan dan minum

Kelayakan:

1. Warganegara Malaysia

2. Berumur 18 hingga 25 tahun

3. Lulus SPM atau setaraf

4. Sihat tubuh badan

Artikel Berkaitan:

18 tip persediaan hadapi SPM dan STPM yang perlu anda tahu

Dua lepasan SPM ini terkejut subjek Gagal, rupa-rupanya A setelah semakan semua dibuat

Sudah bersedia untuk hadapi SPM? Guru cemerlang ini kongsi rahsia lulus mudah subjek Matematik

Cuti sekolah sebab jerebu, apa kata ajak mak ke SuperPark - Semua 'game indoor'