SIK - Program Transformasi Pendidikan Digital Abad 21 dilancarkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 8 di sini menjadi salah satu usaha untuk meningkat dan memajukan anak-anak dalam komuniti daerah ini.

Exco Pendidikan Sumber Manusia dan Pembangunan Insan, Dr Salmee Said berkata, ia merupakan pilot projek pertama di Kedah dan dilaksanakan atas alternatif sekolah dalam memastikan murid mereka selari dengan kaedah pembelajaran revolusi 4.0 sekali gus berdaya saing hingga peringkat global.

Menurutnya, program itu membolehkan murid menjawab soalan atas talian dengan perkembangan mereka boleh dipantau guru dan ibu bapa.

"Projek perintis pertama ini dijalankan di sekolah SK Batu 8 untuk 45 murid Tahun 6 dan menerima tajaan sebanyak RM12,000.

"Sekiranya apa dilakukan ini memberikan hasil positif kepada pelajar di sini, kerajaan akan menggalakkan program seperti ini dilaksanakan di sekolah lain," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Terdahulu, Salmee merasmikan majlis perasmian program Transformasi Pendidikan Digital Abad 21 di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 8, semalam.

Beliau berkata, melalui kaedah pembelajaran semasa dapat memberi fokus melahirkan ilmuwan profesional, teknokrat dan saintis yang gemilang di daerah ini.

"Dunia global sekarang amat menuntut murid yang seimbang seperti yang tertera pada Falsafah Pendidikan Negara.

"Salah satu elemen untuk ke arah tersebut adalah seperti adanya program sebegini," katanya.

Beliau berkata, tuntutan pembelajaran kini lebih kepada pembelajaran maya yang lebih interaktif dan menyeronokkan.