SINTOK - Program webinar yang bertemakan Memperkasa Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) kursus kokurikulum berkredit secara atas talian membabitkan tiga universiti awam (UA) di negara ini, mendapat sambutan memberangsangkan apabila ditonton oleh 28, 000 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) khususnya yang mengikuti kursus kokurikulum.

Pusat Kokurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Majlis Kokurikulum Universiti-universiti Malaysia (UniCC) bertanggungjawab sebagai tuan rumah dalam menganjurkan webinar berkenaan, baru-baru ini dan turut menampilkan dua lagi UA iaitu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta Universiti Sains Malaysia (USM).

Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, Dr Mohamad Zaki Ahmad, berkata program yang disiarkan secara langsung melalui Facebook itu memberi pendedahan mengenai kaedah dan pengetahuan tentang PdP secara maya yang menjadi wadah kepada pelajar untuk mengaplikasikan teknik-teknik dan kemahiran yang selama ini diperolehi secara bersemuka.

"Pengaplikasian PdP kokurikulum secara maya ini memerlukan jurulatih dan pelajar bersama-sama berkongsi kemahiran dan pengetahuan melalui kreativiti dan berinteraksi secara dua hala untuk memantapkannya.

"Program kali kedua yang dianjurkan oleh UniCC ini menampilkan konsep secara santai ilmu dengan slot  ‘live band music’ oleh kumpulan CoBandIt yang terdiri daripada gabungan staf UUM daripada pelbagai jabatan dan pusat," kata beliau.

Majlis perasmian program berkenaan disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani secara atas talian melalui Facebook.

Dr Ahmad Bashawir berkata, semua pelajar IPT sudah sedia maklum mengenai ancaman pandemik virus Covid-19 yang melanda dunia dan Malaysia juga tidak terkecuali dalam menghadapi cabaran itu.

"Seperti kebanyakan kursus pengajian lain, kursus Kokurikulum Berkredit ini juga tidak terkecuali  dalam berdepan cabaran pandemik ini sekali gus pendekatan untuk proses penyesuaian kelas-kelas kokurikulum dengan kaedah pengendalian secara atas talian perlu dijalankan agar pelajar tidak ketinggalan dalam subjek ini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian webinar itu.

Beliau berkata, memandangkan kursus kokurikulum berkredit merupakan antara syarat wajib untuk bergraduasi di semua UA di negara ini, maka sebarang penangguhan sesi kursus kokurikulum  bakal memberikan kesan terhadap tempoh pengajian para pelajar IPTA.

"Oleh itu, bagi membantu kelancaran untuk para pelajar menamatkan pengajian pada tempoh masa yang ditetapkan (GOT: Graduate On Time), pelaksanaan secara atas talian bagi kursus kokurikulum berkredit wajar dijalankan tanpa sebarang penangguhan.

"Ciri-ciri 10K iaitu kesediaan, kemampuan diri, kreativiti, kuatkerja, kerjasama, keyakinan, komitmen, ketinggian minat, keterbukaan dan keikhlasan juga diharap dapat membantu pelajar yang untuk menghadapi cabaran PdP Kursus Kokurikulum Berkredit ini nanti," ujar beliau lagi.

Program webinar berkenaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, Prof Madya Dr Nik Ab Halim Nik Abdullah sebagai moderator berjaya membantu memudahcara perbincangan para panel melalui tiga slot yang membicarakan aspek yang berbeza tentang PdP Kokurikulum atas talian sepanjang negara berdepan dengan situasi pandemik Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum dari Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan UniMAP, Dr Ahmad Fahmi Mahamood dalam program itu turut memaklumkan mengenai pelaksanaan dua kaedah iaitu synchronous melalui penggunaan WebEx dan googlemeet dalam penyampaian kuliah kokurikulum.

Aplikasi Telegram, WhatsApp dan  Wechat turut digunakan bagi membantu kaedah synchronous dalam kalangan pelajar UniMAP.

Pengarah Pusat Kokurikulum USM, Prof Madya Dr Rahimi Che Aman turut berkongsi pemasalahan ketika berinteraksi dengan pelajar secara online antaranya capaian internet yang kurang baik semasa bencana alam seperti banjir turut memberikan impak terhadap keberkesanan PdP dalam norma baharu semasa pandemik Covid-19 ini.

Beliau turut berkongsi kejadian yang berlaku kepada seorang pelajar kokurikulum USM yang terpaksa menjalani kuliah secara atas talian dalam keadaan rumah yang dinaiki dan dipenuhi air semasa banjir, baru-baru ini.

Teks asal oleh Samsudin Oli Mohamed

Artikel menarik

'Saya ingat emak bergurau' - Anak terkejut ibu hadiahkan nanas ketika konvokesyen USIM

Dua pelajar Malaysia terpilih ke Harvard College, bukti keberkesanan sistem pendidikan kebangsaan