JITRA - Kejayaan projek perintis Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)-Tahfiz di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra menerusi kemasukan seramai 20 pelajar tahfiz pada awal tahun lalu akan diperluas ke seluruh Malaysia.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, pengambilan kumpulan pertama itu pada Januari akan ditambah berdasarkan  kekosongan terutama bagi pengambilan kedua pada Julai ini.

Menurutnya, kemahiran yang diambil oleh pelajar tahfiz berkenaan akan membolehkan mereka  bersaing terutama selepas menceburkan diri dalam dunia pekerjaan.

“Sekarang kita ada seramai 20 pelajar tahfiz di sini dan mereka ini datangnya daripada pelbagai pusat tahfiz di seluruh negara. Kursus yang mereka ambil antaranya adalah elektrik, kimpalan, automotif, pendingin hawa, mekanikal dan penyelenggaraan kenderaan berat.

“Kita harap pengusaha tahfiz tidak hanya fokus kepada hafalan tetapi juga melihat kepada  peluang kemahiran dan hafalan yang harus dibangunkan serentak, ” katanya pada sidang media selepas meninjau perkembangan program dan pelajar tahfiz di ILP Jitra di sini semalam.

Mahfuz berkata, pelajar berkenaan akan diberikan elaun sepanjang mereka mengikuti pembelajaran  di ILP bagi mengurangkan beban keluarga mereka.

“Saya harap publisiti oleh media akan membawa lebih banyak kemasukan pelajar tahfiz  untuk mengikuti kemahiran pada bulan Julai ini di semua ILP di seluruh  negara,” katanya.

Sinar Harian pada Ogos 2019 melaporkan Kedah bakal menjadi negeri perintis TVET-Tahfiz yang akan diperkenalkan bagi membantu meningkatkan ilmu kemahiran  pelajar tahfiz.

Program tersebut adalah salah satu usaha Kementerian Sumber Manusia untuk mengurangkan kebergantungan menggaji pekerja berdasarkan sijil akademik  semata-mata.

TVET-Tahfiz mampu melengkapkan pelajar  dalam dua bidang pendidikan sekali gus iaitu tahfiz dan kemahiran agar pelajar mempunyai nilai tambah dalam mencari pekerjaan selepas tamat hafalan ataupun tamat belajar.

Artikel Menarik:

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020

Jadilah ketua yang disukai, guru ini ada tipnya

Murid mengantuk dalam kelas...Cikgu Herryan Syah sediakan 11 idea menarik untuk guru-guru cuba

Cikgu Azlan kongsi tip mudah bina carta pai subjek Geografi