Inisiatif mewujudkan raga ilmu bagi Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara telah mendapat pujian ramai.

Ini kerana, tidak semua murid-murid sekolah itu dapat mengikuti pembelajaran secara talian kerana masalah tertentu seperti tidak mampu memiliki gajet, terdiri kalangan keluarga tidak berkemampuan dan sekolah berkenaan terletak di kawasan luar bandar.

Guru Besar, Mohd Nizam Saidin berkata, raga ilmu merupakan barangan yang disediakan khas kepada setiap guru di sekolah itu.

“Setiap hari, guru-guru akan menjalani proses pembelajaran menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) seperti menggunakan Google Classroom, Google Meet, Microsoft Teams dan sebagainya.

“Apa jua kerja sekolah yang dibekalkan oleh guru kepada murid-murid, akan dicatat sebagai rekod.

“Kemudian, pihak sekolah akan membekalkan sebuah raga bagi setiap guru untuk dimasukkan bahan pembelajaran seperti lembaran kerja, latihan, modul dan nota. Alhamdulilah, inisiatif ini mendapat reaksi positif kalangan pendidik sekolah ini,” katanya.  

Cikgu Mohd Nizam berkata, satu jadual khusus telah disediakan sebagai pemberitahuan kepada guru-guru menghantar bahan pembelajaran dan dimasukkan ke dalam raga ilmu itu.

“Kita tidak mahu guru-guru menghantar kerja sekolah mengikut masa masing-masing.

“Jadi, kami telah siapkan jadual untuk cikgu dan ibu bapa boleh mengambil dan menyerahkan semula bahan-bahan tersebut di sekolah berdasarkan tarikh yang telah kita buat,” ujarnya.

Raga ilmu telah disusun mengikut abjad nama guru-guru.

Guru-guru yang membekalkan bahan-bahan belajar akan mengambil gambar dan memaklumkan kepada ibu bapa menerusi medium sosial yang disediakan.

Tiada proses bersemuka antara guru dan ibu bapa. Ini kerana, SK Dato’ Wan Kemara mahu segala perancangan berjalan dengan lancar.   

Sementara itu, SK Dato’ Wan Kemara mempunyai bilangan murid seramai 1400 orang.

Dengan bilangan tersebut, ini tentunya menyukarkan guru-guru untuk menyerahkan bahan pembelajaran secara manual sekiranya murid berkenaan berhadapan masalah ketiadaan internet.

“Dengan terlaksananya konsep raga ilmu ini, pembelajaran murid-murid akan menjadi lebih mudah dan saya yakin, mereka tidak akan ketinggalan dalam pelajaran nanti.

“Saya mohon kerjasama daripada guru, ibu bapa, penjaga dan juga murid agar dapat mengikuti apa yang telah sekolah sediakan,” ujar beliau.

Artikel menarik

Kaedah pemulangan dan pengambilan buku teks, ini kata KPM

3 teknik yang perlu cikgu guna sepanjang PdPR berlangsung. Moga bermanfaat!