SUNGAI PETANI - Kira-kira 80 peratus bangunan asrama perempuan Maahad Tahfiz Jabal Nur di Semeling hangus dalam kebakaran jam 4.30 pagi semalam.

Mudirah pusat tahfiz berkenaan, Zarina Masri berkata, kejadian disedari seorang anaknya yang terjaga daripada tidur dari rumah bersebelahan selepas terdengar cermin pecah.

Zarina bagaimanapun bersyukur kerana musibah itu tidak membabitkan pelajar kerana kesemua mereka sedang bercuti Aidiladha sehingga Selasa ini.

“Kebakaran turut menjejaskan ruang belajar dan bilik rehat di tingkat atas manakala asrama yang menempatkan katil dan tilam berada di tingkat bawah turut musnah,” katanya.

 Keadaan asrama perempuan yang hangus.

Menurutnya, maahad yang dibangunkan arwah suaminya sejak 1999 sebelum ini dikenali sebagai Pondok Attin menawarkan pengajian pondok kepada pelajar lelaki dan perempuan di utara termasuk Thailand.

“Perbelanjaan bergantung kepada yuran sebanyak RM200 sebulan selain sumbangan dan zakat tetapi tidak semua pelajar mampu bayar,” katanya.

Zarina

Beliau turut menganggarkan kerugian mencecah kira-kira RM400,000 termasuk 40 set katil yang hangus dalam kebakaran itu.

Zarina berkata, mereka terhidu bau hangit sehari sebelum kejadian dan telah membuat pemeriksaan di setiap kawasan berkenaan tetapi tidak menemui sebarang petunjuk.

Mereka menyangka kemungkinan bau asap itu dari arah kawasan sampah yang dibakar.

Orang ramai yang bersimpati, boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam bernombor 02020010021602 atas nama maahad tersebut.

Zarina (tengah) menerima sumbangan daripada wakil Pusat Khidmat Parlimen Merbok yang meninjau lokasi kejadian semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba Mohd Ridzuan Nut Jamudin berkata, seramai 12 anggota bomba tiba di lokasi pada jam 4.57 pagi dibantu bomba sukarela Sungai Petani dan bomba Bedong.

“Api berjaya dikawal pada jam 5.13 pagi. Punca serta kerugian masih disiasat,” katanya.

Baca:

Tip akhir menjelang UPSR, guru ini kongsi rahsia cemerlang dalam penulisan bahasa Melayu

Pendidikan Sivik fokus empat nilai teras selama sejam pada minggu keempat setiap bulan

Kerajaan Terengganu tubuh Imtiaz Mandarin untuk pupuk perpaduan nasional

Mantap dan unik - Sekolah lain patut tengok persembahan johan koir antarabangsa ini (46 foto, 4 video)

Projek REAL tingkat penguasaan bahasa Inggeris murid luar bandar