LANGKAWI - Kehilangan bapanya pada usia 13 tahun tidak melemahkan semangat seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra di sini, sebalik menguatkan jati dirinya sehingga memperolehi keputusan cemerlang 10A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

Malahan Mubarak Musa, 18, berkata faktor kehidupan keluarga yang berubah dan susah selepas pemergian bapanya Musa Said akibat sakit tua, menyebabkan dia lebih berusaha untuk memperolehi keputusan cemerlang bagi mengubah kehidupan mereka sekeluarga.

"Saya tidak memikirkan sangat mengenai kemiskinan atau kehidupan yang susah, sebaliknya terus abaikan perkara tersebut. Faham berasal dari keluarga biasa, jadi saya memberi lebih tumpuan kepada pelajaran kerana itu lebih penting dan boleh mengubah kehidupan," katanya kepada pemberita selepas menerima keputusan tersebut di SMK Tunku Putra, Padang Matsirat di sini hari ini.

Mubarak, anak pertama dari dua adik beradik berkata dia tidak mempunyai formula khusus untuk berjaya sebaliknya memberi perhatian ketika proses pembelajaran di dalam kelas.

"Saya tidak pergi tuisyen di luar, cuma belajar dan fokus di dalam kelas serta mengulangkaji pelajaran bersama rakan-rakan di luar waktu kelas. Selain itu saya suka jadikan kawan-kawan sebagai saingan, kami masing-masing bersaing mendapatkan keputusan yang lebih baik," katanya yang berasal dari Kampung Lawer, Mukim Padang Matsirat.

Mubarak kini merancang untuk menyambung pelajar dalam program sains matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia bagi mencapai impian bergelar doktor.

Sementara itu, Zainab Ismail, 54, berkata dia bekerja sebagai tukang masak di Sekolah Menengah Agama Al-Baqiyatussolihat Kampung Ranggut di sini selepas pemergian suaminya untuk menyara kehidupan mereka bertiga.

"Selepas suami meninggal dunia, saya bekerja sebagai tukang masak di sekolah tersebut. Saya selalu nasihatkan anak-anak mengenai keadaan keluarga, mereka tidak ada ayah jadi perlu berusaha lebih kuat kerana tidak sama dengan kawan-kawan yang ada kedua-dua orang tua.

"Alhamdulillah kedua-dua anak saya faham keadaan keluarga mereka mendengar nasihat dan teguran hari ini saya amat gembira dengan keputusan dicapai Mubarak," katanya. - Bernama