JITRA – Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyior (SMKPN), di sini, membuat kejutan kepada guru peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan menyerahkan mesin pencetak, pisang dan jagung, sebaik sahaja berakhir peperiksaan bagi subjek Sains Komputer, petang tadi.

Wakil pelajar, Avicenna Lou Yan Tong  berkata, keputusan untuk membeli mesin pencetak, pisang dan jagung itu diambil setelah berbincang dengan rakan sekelas sebagai tanda penghargaan kepada guru di SMKPN yang banyak berkorban dalam mendidik beliau dan rakan-rakan.

"Saya dan rakan-rakan berharap sumbangan sebegini dapat memberi contoh teladan yang baik kepada pelajar lain supaya menghargai guru masing-masing dan tidak bertindak semberono seperti laporan mengenai beberapa pelajar SPM yang bertindak menconteng baju yang tertera perkataan kesat terhadap guru, baru-baru ini.

"Sebagai pelajar, saya marah dan malu apabila melihat tindakan mereka yang memberikan tanggapan negatif kepada pelajar lain seperti kata peribahasa melayu kerana nila setitik rosak susu sebelanga," katanya.

Pelajar menyerahkan sumbangan jagung kepada guru SPM di SMKPN.

Sementara itu, Nur Sakinah Samsudin berkata, pelajar SMKPN membuktikan walaupun tertekan dengan penangguhan peperiksaan SPM berikutan pandemik Covid-19, pelaksanaanPerintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP), mereka tetap bersemangat menduduki peperiksaan SPM.

"Tidak dinafikan pelajar tertekan, tetapi guru-guru sekolah sebenarnya lebih tertekan dalam mendepani cabaran ini tetapi mereka tetap bersemangat untuk mengadakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan mengedarkan soalan latihan bercetak terutama soalan-soalan semasa dan soalan-soalan lima tahun lepas.

"Oleh itu, saya dan rakan-rakan sepakat untuk memberikan hadiah kepada guru SPM sekolah ini sebagai tanda penghargaan dan berharap ia memberikan manfaat kepada guru kami di masa depan," katanya.

Mohd Hanif Nazmi Mad Nazir pula berkata, dia sangat berterima kasih kepada semua guru kerana sanggup mengadakan kelas tambahan pada waktu malam dan hari cuti agar mereka lebih bersedia untuk menghadapi SPM.

Pisang turut diserahkan sebagai tanda penghargaan pelajar kepada guru.

Dalam pada itu, Guru Kanan Kemanusiaan SMKPN, Cikgu Zainal Sulaiman yang menerima mesin pencetak daripada pelajarnya melahirkan rasa  terharu dan gembira dengan sumbangan itu.

"Kami guru-guru sentiasa mendoakan dan berusaha sebaik mungkin agar pelajar kami dapat menghadapi peperiksaan SPM dengan jayanya," katanya.

Manakala Cikgu Azmawati Abd Wahab pula tidak menyangka pelajarnya akan menghadiahkan mesin pencetak di hari akhir peperiksaan SPM mereka itu.

"Semoga mesin pencetak ini akan membantu unit peperiksaan SPM sekolah ini kelak,’ sambungnya lagi.

Sementara itu, Penyelaras Praktikum Pusat Pengajian Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Nor Hasimah Ismail turut menyampaikan sumbangan kertas A4 untuk kegunaan guru-guru SPM sekolah itu.

"Apabila dimaklumkan mengenai langkah pelajar sekolah ini mengambil iniasitif untuk mengumpul wang bagi pembelian mesin pencetak untuk kegunaan guru-guru SPM khususnya, maka secara tidak langsung ia memberikan kegembiraan kepada kami untuk turut menyumbang kertas A4 sebagai tanda kegembiraan," katanya.

Artikel menarik

Guna sepanduk nama untuk mudahkan penyuraian murid, setuju atau tidak?

Siapa sangka, karya pelajar Malaysia mampu diterbitkan dalam majalah di luar negara