“Abah disenangi semua nak murid, semua anak murid sayang abah.. dari zaman sekolah sampailah abah dah pencen. Ada juga anak murid yang dah habis sekolah masih datang ziarah abah setiap kali hari raya.”

Demikian penjelasan, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah (SMKAK), Ku Hasnah Ku Yaacob, 37, yang juga anak sulung kepada Allahyarham Ku Yaacob Ku Hasim, bekas guru SMKAK yang meninggal dunia ketika sedang menyampaikan khutbah Jumaat pada 7 Jun lalu.

Menurutnya, arwah abah seorang yang penyabar, tidak garang dan sangat disenangi oleh semua pelajar.

Kenangan menyambut Aidilfitri 2017

Katanya, Allahyarham melayan semua pelajarnya sama rata. Malah, arwah juga seorang yang sabar  melayan dan mendidik semua pelajar, jarang sekali meninggi suara.

“Kalau ada pelajar lelaki buat silap, abah akan tarik side burn lembut je, tu pun jarang-jarang.

Cubit perut pun cubit sayang je. Abah tak cakap banyak, tapi bila cakap bermakna. Selain tu, abah sangat tekankan pasal solat dan galakkan bersedekah khususnya dalam bulan puasa.

Ku Munirah bersama arwah abah

“Ketiadaan abah, sangat memberikan kesan. Ramai sangat yang datang, tak putus-putus. Mak dan abah memang mempunyai hubungan baik dengan pelajar-pelajar. Walaupun dah habis belajar dan bekerja, mereka masih datang ziarah. Rumah ni pun memang tak sunyi dengan tetamu. Apatah lagi abah imam surau di sini, ”katanya kepada GPSBestari.

Ramai datang lawat abah

Sementara itu, anak bongsu Allahyarham, Ku Munirah Ku Yaacob menjelaskan, arwah abahnya seorang yang rajin melawak dengan anak-anak. Selain suka bersembang, Allahyarham juga suka melayan cucu-cucu dan anak-anak setiap kali keluarga besar Ku Yaacob itu berkumpul.

Gambar keluarga selepas Allahyarham tiada

Selain Ku Hasnah, dua lagi anak Allahyarham, Ku Majidah dan Ku Madihah juga belajar di sekolah yang sama. Bagaimanapun, hanya anak pertama dan kedua sahaja yang sempat belajar Bahasa Arab dengan Allahyarham. Sementara anak ketiga Allahyarham, Ku Madihah hanya sempat belajar kitab Hidayatussalikin setiap hari Sabtu bersama arwah abahnya.

Allahyarham Ku Yaacob bersama isteri, Jamilah Abd Rahman

Hasil perkahwinan Allahyarham Ku Yaacob Ku Hasim bersama Jamilah Abd Rahman, dikurniakan lima cahaya mata, Ku Hasnah, 37, Ku Majidah, 35, Ku Madihah, 33, Ku Basyirah, 31, dan Ku Munirah, 29.

Allahyarham rajin di dapur

Pemergian Allahyarham ke Rahmatullah ternyata telah menyentuh banyak hati. Malah, pengakhirannya juga, sangat dicemburui oleh ramai pihak. Selain isteri dan anak-anak, ahli keluarga terdekat antara individu yang turut terkesan dengan kehilangannya.

Menurut, Pengarah Urusan / Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar, Allahyarham seorang yang agak pendiam, namun sentiasa meraikan kunjungannya dan keluarga.

“Abang Ku yang saya kenal, orangnya pendiam, suka membaca, menyibukkan diri dengan kerja-kerja mengajar dan mendidik. Beliau juga sangat menjaga waktu solat dan menjaga lidah dari bercakap perkara yang sia-sia,”jelasnya.

Tambahnya, Allahyarham mempunyai lima cahaya mata, dan semuanya perempuan. Namun  direzekikan semuanya berjodoh dengan orang yang baik-baik, menghormati orang tua dan rajin. Semuanya seolah-olah menggantikan tempat anak lelaki sendiri yang Allahyarham tidak miliki.

“Arwah juga rajin ke dapur, membantu isteri menyiang ayam dan memotong daging. Malah dia juga akan ke pasar membeli segala jenis lauk pauk,”katanya.

Sandal terakhir abah

Sandal baru abah

Pagi tadi Ku Munirah Ku Yaacob ke masjid di mana ayahnya telah rebah dan meninggal ketika membaca khutbah Jumaat, dan hatinya menangis sayu apabila melihat hanya sandal abahnya sahaja yang masih ada di situ.

Reaksi bekas pelajar

Berita sedih yang menggembirakan...

A.Razak Muthalib

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada ALLAH, dan hendaklah setiap jiwa perhatikan apa yang telah disediakan untuk hari esok (akhirat)..." (Surah al-Hasyr: ayat 18)

Inilah pesanan terakhirnya. Kemudian beliau terus rebah di atas mimbar, menghembuskan nafas terakhir di hari Jumaat, ketika menyampaikan khutbah.

Pada hari yang ada kelebihan.

Di tempat yang dimuliakan.

Dengan lafaz tahmid dan syahadah.

Dalam keadaan berwuduk.

Mengingatkan manusia agar takutkan ALLAH.

....lalu, beliau kembali kepada Penciptanya.

Saya menerima berita sedih ini bercampur gembira. Beliau adalah salah seorang guru dan murabbi saya semasa di sekolah menengah. Sangat gigih mengajar dan mendidik kami. Bukan hanya menyampaikan ilmu, tetapi turut membentuk akhlak anak didiknya.

Semasa hayatnya, beliau bukanlah dikenali sebaris dengan penceramah atau “ustaz selebriti” yang lain. Namun, pemergiannya disebut-sebut dan didoakan oleh masyarakat setempat sehinggalah ke peringkat antarabangsa. Begitulah ALLAH boleh sahaja mengangkat kedudukan siapa sahaja dari kalangan hambaNya yang dikehendaki. Begitulah juga sebaliknya.

Sejak dari Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah, saya sudah mula mengenali sosok tubuh ini. Sejak itu, selama 5 tahun saya mendapat didikan beliau, sama ada secara langsung mahu pun tidak. Semasa di Tingkatan 3, beliau menjadi guru kelas saya.

Beliau mengajar subjek Bahasa Arab, Fiqh dan Usul Fiqh. Selain mengajar secara rasmi di waktu persekolahan, beliau juga turut mencurahkan ilmunya kepada kami semasa sesi tazkirah Zohor, kuliah maghrib mingguan dan juga di kelas fardhu ain setiap hujung minggu. Kegigihan beliau mengajar kami, tidak perlu dipertikaikan lagi.

Ustaz A.Razak Muthalib paling kanan.

Seorang yang murah dengan senyuman. Tenang dan penyabar. Sepanjang lima tahun bersama beliau, seingat saya beliau tidak pernah meninggikan suara kepada kami. Walau pun kadangkala ada karenah yang beliau perlu hadapi. Maklumlah mengajar anak-anak remaja.

Beliau tidak menengking marah. Tetapi dengan nada suara yang rendah, butiran nasihat demi nasihatnya masuk ke telinga saya dan rakan-rakan. Beliau membuatkan kami berfikir sendiri, tentang masa hadapan, tentang ilmu, tentang tanggungjawab,  apa yang terbaik untuk kami.

Keilmuan beliau menjadikannya antara guru yang dirujuk oleh pelajar dan guru-guru lain tentang permasalahan agama. Beliau juga tidak pernah jemu-jemu menasihati kami agar penuhi usia muda dengan menuntut ilmu, sebelum disibukkan dengan urusan lain. Waktu itu, saya anggap itu adalah pesanan yang biasa, tetapi apabila umur semakin meningkat, urusan hidup semakin bertambah, baru saya benar-benar rasai betapa nasihat beliau ini begitu bernilai dan bermakna.

Saya tidak pasti apakah amalan tersendiri yang beliau lazimi. Mungkin ia kekal menjadi rahsia antaranya dengan ALLAH Azza wa Jalla. Namun, apa yang sering beliau pesan dan tegaskan kepada kami, apa jua urusan, utamakan solat. Sebab itu, setiap hari selepas tamat sesi persekolahan, beliau antara guru yang akan “menghalau” kami ke surau untuk solat Zohor berjemaah. Begitu juga dengan amalan zikir waktu pagi dan petang. Beliau ingatkan untuk kami jadikan rutin, walau pun zikir yang ringkas.

Kini, untaian pesanan dan nasihat beliau tidak lagi mampu didengari. Ia hanya tinggal berbekas di dalam hati. Hidupnya sebagai orang yang baik. Pengakhiran hayatnya disaksikan oleh manusia sebagai pengakhiran yang baik. Semoga begitu juga beliau disisi Allah. Saya mengungkapkan lafaz yang sama seperti yang Baginda Nabi s.a.w sebutkan di dalam hadis riwayat Imam Muslim: “...dan tidaklah saya memuji seseorang mengatasi Allah”.

Semoga ALLAH mengampuni dan merahmatinya. al-Fadhil Ustaz Ku Yaakob dalam kenangan..

Suara terakhir

Muhammad Bukhari Jauhari  

Menerima perkhabaran yang sukar untukku terima.

Detik terakhir melihat dan mendengar suaranya.

Setelah selesai menunaikan solat sunat, aku duduk di bahagian kanan masjid. Aku terdengar suara imam memberi salam, seakan aku pernah dengar suara itu, lalu aku menjenguk mengintai adakah benar tekaan aku, ya, benar, sosok tubuh yang pernah mengajar aku ketika di sekolah SMKAK, Ustaz Ku Yaakob, lebih mesra dipanggil Ustaz Ku dalam kalangan kami.

Kemudian aku kembali melihat hadapan tempatku, tiba-tiba terdengar suara orang keras dan bunyi mic jatuh. Terlihat Ustaz Ku rebah di tangga mimbar Masjid AlBukhary.

Ramai orang datang menerpa memberi bantuan.

Kemudian solat diteruskan. Wakil medic terus memberi bantuan pernafasan.

Habis saja solat terus aku menerpa mencarinya, nampak ustaz kelihatan pucat sejuk. ALLAH.

Hanya mampu berdoa dan meminta sahabat yang mengenali beliau terus berdoa.

Ustaz, kami menjadi saksi, Kesungguhan mu dalam mendidik kami mengenal Allah.

Saat Ustaz menegur cara saya mengambil wuduk air kolah dengan betul, masih terpahat ajaran ustaz di dalam hati saya.

Kelembutan mu dalam mendidik kami, tiada apa kami dapat balas jasamu. InsyaAllah kami akan terus menyampaikan apa yang telah ustaz ajarkan kepada kami.

Terlalu banyak kisah yang aku mahu kongsikan dengan ustaz.

Berehatlah. Ustaz, pemergianmu dicemburui. Kau pulang ketika kau menyebut Nama Tuhanmu, kau Pulang ketika kau meminta manusia bertaqwa kepada ALLAH.

Semoga ALLAH mengampunimu dan meletakkan di antara org-orang yang beriman dan beramal soleh.

Innalillahiwainailahirajiouun. Al Fatihah

Dalam kenangan

Syakur Ibrahim

Almarhum Ustaz Ku Yaakob dalam kenangan.

Inilah satu kematian yang istimewa. Pada hari Jumaat, selesai meraikan sebulan kemenangan di bulan Ramadan, di atas mimbar masjid, berkhutbah dengan lafaz mengingatkan jemaah agar bertaqwa kepada Allah, kemudiannya almarhum rebah dan dijemput kembali ke Rahmatullah.

Almarhum Ustaz adalah seorang yang lembut tutur katanya. Sepanjang lima tahun saya menuntut di SMKA Kedah, setiap hari Sabtu malam Ahad, selepas solat Maghrib, ustaz akan akan mengajarkan satu kitab kuning berkaitan fiqh ibadah iaitu kitab "Sabilal Muhtadin" bermaksud jalan bagi orang yang beroleh petunjuk.

Sehingga ke hari ini saya masih mengamalkan satu dari ilmu yang diajarkan beliau iaitu bacaan sunat selepas tahiyat akhir, sebelum memberi salam pertama, dan satu doa yang tak pernah sekalipun ustaz tinggalkan dalam doanya iaitu,

"Ya ALLAH bantulah kami dalam mengingati-Mu, mensyukuri nikmat-Mu dan beribadah dengan baik kepada-Mu"

Pernah satu ketika, ketika ustaz mengajarkan kitab, ramai jemaah tidak mengendahkannya, dek kerana baru selesai cuti sekolah yang panjang, masing-masing berborak sesama sendiri ketika ustaz mengajar, ustaz sabar dan terus mengajar.

Seusai ustaz habis mengajar dan selesai bersolat Isyak, saya mencapai mikrofon dan terus menegur semua jemaah yang ada di dalam surau sekolah kerana tidak menghormati ustaz. Biarlah siapa pun dia, asalkan dia guru saya, janganlah ada siapa berani merendah-rendahkan guru-guru saya. Itulah prinsip hidup saya.

Semoga ALLAH berkati segala ilmu yang Ustaz sampaikan dan insyaAllah akan kami amalkan sehingga akhir hayat kami.

SMKA KEDAH 2001-2005.

Apa kata mereka

Artikel lain:

Bekas pelajar kongsi pesanan Allahyarham Ustaz Ku Yaacob semasa di SMKA Kedah

'Bertakwalah kepada ALLAH' - Antara ayat terakhir Allahyarham Ustaz Ku Yaacob