Murid Pendidikan Khas SK Dato’ Wan Kemara, Changlun Kedah berjaya membina model bagi penambahbaikan bilik terapi Snoezelen dalam pertandingan SmartMalaysia Samlabs STEM Challenge 2020 yang dianjurkan  oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Pusat STEM Negara dan Cybertech Malaysia.

Model ini yang dinamakan sebagai SmartMalaysia  Snoezelen Classroom ini berjaya memperoleh Anugerah Gold Inventor bagi kategori Pendidikan Khas.

Kelas Snoezelen adalah kelas terapi yang dapat memberikan ransangan pelbagai deria meliputi penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau dan sendi.

Kelas ini dilengkapi pelbagai alatan dan bahan yang dapat meransang minda seseorang untuk berehat daripada segala tekanan.

Media yang digunakan adalah lampu (cahaya), permukaan taktil (sentuhan), muzik (pendengaran) dan bau aroma yang harum menyegarkan.

Bauan yang dipilih adalah lavendar, ia berfungsi untuk menghilangkan stress dan dapat mengawal emosi yang tidak stabil.

 Konsep kelas ini adalah untuk mengurangkan tekanan secara kognitif atau intelektual serta berupaya mengawal persekitaran bagi membolehkan murid berasa selamat dan lebih tenang.

Dengan menggunakan Applikasi SAM Space, tiga orang murid pendidikan khas, Awi Wafiy, Danish Idziyad, dan Syafiq Hakimi Fitri telah membina model SmartMalaysia Snoezelen Classrom  bagi memudahkan guru sebelum memulakan sesi terapi dan semasa berakhirnya sesi terapi di dalam kelas Snoezelan.

Selain memudahkan kerja guru, alat ini juga sedikit sebanyak dapat  mengurangkan pembaziran tenaga elektrik.

Guru tidak lagi perlu membuka lampu led, pewangi elektrik dan peralatan audio walaupun sesi terapi masih belum bermula.

Selain itu dengan pembinaan model produk ini secara tidak langsung dapat memupuk minat murid dan guru dalam menerokai pembangunan STEM.

Model ini telah dibina dengan berpandukan lakaran yang dibina dengan menggunakan aplikasi SAM LAB yang telah dimuat turun  dalam komputer riba.

Tahniah dan Syabas, murid-murid PPKI SK Dato’ Wan Kemara.